Pembangkang main wayang perkauman berbahaya, kata Guan Eng


Ravin Palanisamy Lee Chi Leong

Jika mereka diterima rakyat, mereka akan terus guna taktik memecah belahkan yang lebih menjejaskan generasi sekarang dan masa depan, kata Lim Guan Eng. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Januari, 2019.

SETIAUSAHA Agung DAP Lim Guan Eng berkata pembangkang sedang memainkan wayang perkauman yang berbahaya dalam Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands, dan memberi amaran ia boleh meninggalkan kesan buruk jika mereka menang.

“Jika mereka menang kali ini, hanya orang Islam boleh jadi pemimpin dan ia akan bermakna orang bukan Islam tidak ada peluang untuk jadi menteri malah tidak boleh jadi ahli Parlimen pun.

“Jadi, saya harap semua orang akan beri undi mereka kepada calon DAP,” katanya pada ceramah di Tanah Rata malam tadi.

Isnin lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam ceramahnya mendakwa DAP tidak mempunyai konsep dosa dan pahala, menyebabkan mereka tidak layak dipilih jadi pemimpin. Ahli Majlis Tertinggi Umno Md Alwi Che Ahmad dalam ceramahnya turut mengulangi dakwaan sama- DAP tidak layak jadi pemimpin kerana bukan beragama Islam.

Guan Eng yang juga menteri kewangan berkata, gabungan pemerintah tidak boleh kehilangan walau satu undi kerana ia akan menyebabkan pembangkang merasakan gaya ekstremis mereka diterima rakyat.

Katanya lagi, generasi masa depan bakal berdepan masalah sekiranya pengundi Cameron Highlands memberikan mandat kuasa kepada calon pembangkang yang disokong dan menggunakan kaedah ekstremis ini.

“Jika anda undi mereka (pembangkang), mereka akan makin cenderung untuk jadi lebih ekstremis dan rasis.

“Di masa depan, jika anak anada mahu jadi menteri atau ahli Parlimen, mereka tidak aka nada peluang kerana taktik perkauman yang merbahaya ini,” katanya.

Guan Eng juga mengecam pentadbiran terdahulu Barisan Nasional yang dikenali ramai kerana korupsi yang berleluasa.

“Mereka (BN) tak pernah bercakap tentang memerangi korupsi. Tengok sahaja skandal 1MDB, sampai kita rugi RM100 bilion.

“Jika kita bercakap tentang pemimpin yang berakhlak, siapa lagi (berakhlak) jika anda bandingkan BN dengan Dr Mahathir dan Anwar.

“Jika anda lihat kemampuan mengurus ekonomi, siapa lebih baik, Dr Mahathir dan Anwar atau BN,” katanya. – 24 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen