Jangan undi calon bukan Islam, kata pemimpin Umno 


PENGUNDI Melayu dan masyarakat Islam terutamanya penyokong Pakatan Harapan (PH) wajib menolak calon dari parti DAP kerana tidak beragama Islam, kata pemimpin Umno. 

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Md Alwi Che Ahmad mendakwa, calon PH dari DAP dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands secara terbuka mempertikaikan kedudukan agama rasmi negara.

Beliau berkata demikian dengan membangkitkan kenyataan satu kenyataan calon berkenaan, M Manogaran pada 2010 itu yang didakwa mempertikaikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. 

“Dalam kenyataannya yang disiarkan oleh The Nut Graph (9 Februari 2010), Manogaran menyebut tiada di mana-mana tempat dalam Perlembagaan negara yang menyebut bahawa agama Islam adalah lebih penting atau lebih istimewa daripada agama-agama lain.

“Bagaimana beliau sebagai seorang peguam yang sepatutnya mempunyai pengetahuan undang-undang asas negara boleh mendakwa begini jika beliau tiada agenda serong kerana banyak tempat dalam perlembagaan negara yang menyebut begini,” katanya dalam kenyataan di Facebook. 

Ketua Pembangkang di Dun Kelantan itu menambah Manogaran juga wajar ditolak kerana mempertikaikan kedudukan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

“Dalam tulisannya yang disiarkan oleh Malay Mail Online, Manogaran menyebut Dr. Mahathir hanya bersuara mengenai hak asasi bila melibatkan orang-orang Islam tetapi tidak bersuara bila ia melibatkan orang-orang bukan Islam. 

Tambah lagi, pemimpin yang tidak menghormati ketua tidak seharusnya dijadikan sebagai ahli Parlimen oleh orang-orang Melayu Islam dalam PH.

Dakwaan serupa dibangkitkan beberapa pemimpin Umno dan PAS semasa kempen pilihan raya kecil Cameron Highlands.

Mereka antara lain mendakwa DAP mahu menghapuskan hak istimewa Melayu, Raja-raja dan status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Kempen yang memainkan isu melibatkan agama dan kaum itu mendapat teguran Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun. – 22 Januari, 2019.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen