SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) meminta pemerhati pilihan raya lantikannya mengemukakan isu penggunaan kenderaan milik kerajaan dalam kempen di Cameron Highlands kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut agensi anti rasuah itu.
Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata beliau juga sudah meminta pemerhati tersebut, Malaysian Corruption Watch (MCW) memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM.
Katanya, beliau memberikan arahan itu kepada Presiden MCW, Jais Abdul Karim semalam.
“Berhubung dengan isu berkaitan penggunaan kenderaan jabatan semasa berkempen, saya telah mengadakan perbincangan segera pada 20 Januari 2019 dengan Presiden Malaysian Corruption Watch (MCW), Tuan Haji Jais bin Abdul Karim selaku Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik oleh SPR bagi mengemukakan maklumat dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan perkara ini untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Azhar juga mengambil maklum laporan polis yang dibuat oleh calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor hari ini berhubung isu yang sama.
Selain isu penggunaan kenderaan milik kerajaan, Azhar juga membangkitkan soal kempen yang memainkan isu melibatkan agama dan kaum. Beliau dalam kenyataannya bagaimanapun tidak menyebut pihak atau parti politik mana yang terlibat.
Ramli membuat dua laporan berasingan di Sungai Koyan mengenai insiden petang semalam melibatkan pasukan kempennya dengan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dari Pakatan Harapan (PH).

Dalam laporan pertama, beliau mendakwa konvoinya terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan roda milik Jabatan Perhutanan Pahang digunakan dalam kempen PH di Kampung Sop, dekat Pos Lenjang.
Konvoinya disertai beberapa pemimpin Umno termasuk Adun Muadzam Shah Razali Kassim; Setiausaha Umno Bahagian Rompin Zahari Mohamad dan bekas wakil rakyat, Maznah Mazlan, kata Ramli.
Dalam laporan kedua, Ramli mendakwa Zulpuri menahan kenderaan yang dinaikinya sementara orangnya dikasari dengan mulut oleh timbalan menteri itu.
Laporan polis itu dibuat ketika tersebar rakaman video menunjukkan Zulpuri naik berang dengan tindakan jentera BN mengoyak lambang partinya yang diletakkan pada kenderaan milik kerajaan negeri itu.
Jentera BN mendakwa PH masih terus menggunakan kenderaan kerajaan untuk berkempen di Cameron Highlands meskipun Setiausaha Kerajaan Pahang Sallehuddin Ishak pagi semalam mengarahkan kenderaaan itu ditarik balik dan diserahkan semula kepada Pejabat Hutan Daerah Raub.
Sallehuddin mengarahkan kenderaan tersebut dipulangkan semula kerana telah disalah guna daripada tujuan permohonan asal iaitu untuk kegunaan seorang timbalan menteri Persekutuan dan bukannya berkempen.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands masih dalam keadaan terkawal biarpun tercemar dengan insiden melibatkan seorang timbalan menteri Persekutuan di Sungai Koyan semalam.
Menurut Azhar, SPR memandang serius pelanggaran undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya di Cameron Highlands, seperti yang sudah diperingatkan sebelum ini.
Katanya, semua pihak yang terlibat dalam kempen perlu mematuhi undang-undang, peraturan dan etika sepanjang tempoh rasmi kempen, sehingga tengah malam 25 Januari ini.
Azhar mengulangi peringatannya sebelum ini akan larangan aktiviti kempen seperti jamuan makan, pemberian hadiah dan barangan, program kerajaan serta penggunaan kemudahan dan aset kerajaan.
“Sekiranya aktiviti kempen sedemikian berlaku dan disabitkan dengan kesalahan, maka tindakan tegas boleh diambil selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 atau undang-undang lain yang berkaitan,” katanya.
Beliau juga mengingatkan semua calon untuk patuh pada akujanji yang dibuat kepada SPR untuk mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya. – 21 Januari, 2019.
Komen