SEORANG timbalan menteri Pakatan Harapan (PH) berang selepas jentera Barisan Nasional (BN) didakwa mengoyakkan lambang partinya yang dilekatkan pada kenderaan milik kerajaan negeri Pahang dalam kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands, semalam.
Dalam satu rakaman video yang tersebar, Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dilihat berkata, tindakan jentera itu keterlaluan dan “kurang ajar”.
“Undang-undang ada, jangan tarik sewenang-wenangnya. Kami ada hak untuk membuat kebajikan kepada masyarakat.
“Kalau hendak cari (kenderaan kerajaan yang digunakan untuk berkempen) boleh tetapi awak tidak ada hak untuk koyak macam itu. Kurang ajar,” kata Zulpuri, dalam rakaman video berkenaan.
The Malaysian Insight difahamkan kejadian berlaku sekitar jam 6.30 petang semalam di Kg. Sop Pos Lenjang.
Jentera BN bagaimanapun mempertahankan tindakan mereka dengan berkata: “Kalau tidak koyak macam mana hendak jadi bukti.”
The Malaysian Insight cuba mendapatkan komen Zulpuri tetapi timbalan menteri itu tidak dapat dihubungi pagi ini.
The Malaysian Insight juga difahamkan laporan polis telah dibuat pada awal pagi tadi oleh BN.

Semalam, jentera BN mendakwa PH masih terus menggunakan kenderaan kerajaan untuk berkempen di Cameron Highlands meskipun Setiausaha Kerajaan Pahang Sallehuddin Ishak mengarahkan kenderaan itu ditarik balik dan diserahkan semula pada Pejabat Hutan Daerah Raub.
Sejak petang semalam, tersebar satu klip video menunjukkan pintu sebuah kenderaan pacuan empat roda dilekatkan dengan bendera PH yang ditutup dengan bendera Malaysia manakala pemandunya memakai baju Harapan.
Seorang jentera BN Yusman Zahari memberitahu, pihaknya mendapati kenderaan itu penuh dengan bahan kempen PH.
Dalam sekeping gambar yang tular baru-baru ini, sebuah kenderaan pacuan empat roda milik Pejabat Hutan Daerah Raub dilekatkan dengan lambang PH, dipercayai digunakan untuk berkempen di PRK Cameron Highlands.
Sallehuddin kemudiannya mengarahkan kenderaan tersebut dipulangkan semula kerana disalah guna daripada tujuan permohonan asal iaitu untuk kegunaan seorang timbalan menteri Persekutuan dan bukannya berkempen.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun sebelum ini memberi ingatan kepada semua calon dan parti politik bertanding di Cameron Highlands supaya berkempen mengikut undang-undang dan peraturan, termasuk dalam soal penggunaan kemudahan, aset dan program kerajaan.
PRK Cameron Highlands diadakan semula selepas mahkamah membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 serta kemenangan penyandangnya C Sivarraajh dari BN berhubung dakwaan rasuah.
Ini juga PRK pertama di negeri yang bukan diperintah oleh kerajaan Persekutuan, sejak BN kalah PRU14. BN kini menguasai hanya dua negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Pahang dan Perlis.
Sivaarrajh kini hilang kelayakan bertanding pilihan raya untuk lima tahun akan datang sehingga 2023.
PRK Cameron Highlands menyaksikan pertandingan empat penjuru di mana calon BN Ramli Mohd Nor ditentang calon PH yang juga bekas calon pada PRU14 lalu, M. Manogaran serta dua calon bebas iaitu Sallehudin Ab. Talib dan Wong Seng Yee.
Pengundian ditetapkan pada 26 Januari ini. – 21 Januari, 2019.
Komen