SPRM siasat dakwaan kempen guna kereta kerajaan Pahang


Kalidevi Mogan Kumarappa

SPRM mengesahkan setakat ini ia sudah menerima tujuh aduan kesalahan pilihan raya sepanjang kempen PRK Cameron Highlands. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2019.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dakwaan penggunaan kenderaan kerajaan negeri Pahang untuk kempen Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, kata pegawai kanan agensi anti rasuah itu.

SPRM juga sudah menerima tujuh aduan kesalahan pilihan raya sepanjang kempen setakat ini, kata Pengarah SPRM Perak, Zainul Darus.

Tujuh aduan itu termasuk dakwaan membabitkan aktiviti jamuan makan selain pemberian sumbangan, dipercayai untuk tujuan meraih undi, jelasnya.

“Kami ada terima maklumat berkenaan juga malah kereta berkenaan sudah ditarik balik oleh kerajaan negeri.

“Semua maklumat akan disiasat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kelmarin, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun meminta pemerhati pilihan raya lantikannya mengemukakan isu penggunaan kenderaan milik kerajaan dalam kempen di Cameron Highlands kepada SPRM untuk tindakan lanjut agensi anti rasuah itu.

Calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor kelmarin membuat dua laporan berasingan di Sungai Koyan mengenai insiden petang Ahad melibatkan pasukan kempennya dengan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji daripada PH.

Dalam laporan pertama, beliau mendakwa konvoinya terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan roda milik Jabatan Perhutanan Pahang digunakan dalam kempen PH di Kampung Sop, dekat Pos Lenjang.

Dalam laporan kedua, Ramli mendakwa Zulpuri menahan kenderaan yang dinaikinya sementara orangnya dikasari dengan mulut oleh timbalan menteri itu.

Laporan polis itu dibuat ketika tersebar rakaman video menunjukkan Zulpuri naik berang dengan tindakan jentera PH mengoyak lambang partinya yang diletakkan pada kenderaan milik kerajaan negeri itu.

Jentera BN mendakwa PH masih terus menggunakan kenderaan kerajaan untuk berkempen di Cameron Highlands meskipun Setiausaha Kerajaan Pahang Sallehuddin Ishak mengarahkan kenderaaan itu ditarik balik dan diserahkan semula kepada Pejabat Hutan Daerah Raub.

Zainul bagaimanapun setakat ini tidak dapat memastikan apakah kesalahan-kesalahan yang didakwa dalam semua aduan yang diterima SPRM setakat ini melibatkan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 atau Akta SPRM 2009, kerana masih dalam siasatan.

Kami akan tengok sama ada perkara itu melibatkan perbuatan rasuah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya. Tidak semestinya memberi makan itu satu kesalahan.

“Pegawai SPRM yang turun padang melakukan risikan, juga akan memantau sebagai orang awam. Maklumat yang diterima kita akan salurkan ke ibu pejabat bagi ditentukan sama ada untuk diambil tindakan atau tidak,” katanya.

Beliau turut memaklumkan SPRM membuka dua bilik gerakan yang beroperasi 24 jam sempena PRK Cameron Highlands iaitu di pejabat SPRM Perak, Ipoh dan di sebuah hotel di Tanah Rata.

Mengulas mengenai siasatan berhubung kes gambar seorang wanita yang mengagihkan wang kepada sukarelawan, Zainul berkata, setakat ini tujuh saksi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Pada masa sama, Zainul memohon kerjasama semua pihak supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi kerana masih tidak dapat dipastikan sama ada perbuatan itu menyalahi undang-undang atau tidak.

Kelmarin, Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Ashari Abu Samah juga memaklumkan pihaknya sudah menerima 17 aduan bagi pelbagai kesalahan sepanjang 10 hari tempoh berkempen sejak hari penamaan calon pada 12 Januari lalu.

Antara aduan itu termasuk empat laporan berkaitan pemberian wang, kertas undi yang tersebar di media sosial serta kejadian koyak bendera parti politik. – 23 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen