Dunia dan masa depan yang mengerikan


Hadri Shah

“Masa depan ialah masa yang tidak terduga.” – Joel Strummer.

FAKTA: Rakyat Malaysia kini gembira. 

Yang tua, yang muda semuanya tersengih-sengih. Daripada menaip mesej sampailah berborak di kedai kopi, dari pagi sampai ke tengah malam, ungkapan cathcy “Malu apa bossku” diulang-ulang tanpa rasa jemu.

Tuan-tuan,

Ungkapan ini bukan sebarang ungkapan. Hari ini “Malu Apa Bossku” adalah fenomena politik paling “in-trend”.

Kini, politik bukan lagi topik yang membosankan. Politik bukan lagi wajah-wajah serius yang terperuk dalam gelanggang Parlimen.

Politik hari ini ialah politik “troll”, sindir-menyindir di media sosial antara politikus-politikus sarkas.

Siapa lebih banyak tweet dan kemas kini status Facebook, maka dia dianggap lantang, genius, kritis dan ditabal sebagai raja troll.

Nampaknya, semua orang sudah lupa penderitaan yang mereka alami sebelum 9 Mei. 2018.

Dulu mereka menangis setelah mengetahui kehidupan anak-anak miskin di flat Kuala Lumpur. Dulu mereka berdebat tentang purata gaji rakyat Malaysia. Dulu mereka gelisah dan marah – harga barang semakin mahal, duit simpanan tidak cukup tetapi orang kaya bertambah kaya.

Dulu mereka kerap mengeluh; semua yang Najib Razak buat, semuanya salah. Ada saja yang tak kena. Segalanya menyusahkan. Apabila terdengar nama perdana menteri Malaysia, mereka menyumpah seranah tujuh petala langit.

Tetapi sekarang tidak lagi.

Setiap hari mereka tertunggu-tunggu tweet Najib.

Mereka mahu menari mengikut ritma sarkastik Najib, ketawa dan mabuk “Malu Apa Bossku?”

Alangkah bagusnya kalau mereka sedar sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk “ride” santai. Tak tahukah mereka ekonomi dunia sedang tenat? Dan yang akan “mati awal” disebabkan malapetaka ekonomi bukanlah golongan elitis “bossku” tetapi mereka sendiri.

Sembilan bulan lalu, The Guardian melaporkan menurut satu analisis tergempar, golongan terkaya dunia (1%) pada sasaran untuk memiliki dua pertiga daripada semua kekayaan dunia menjelang 2030.

Untuk pengetahuan tuan-tuan, sejak 2008, pertambahan nilai kekayaan golongan kaya (elit) bertambah secara konsisten pada nilai 6% sedangkan golongan marhaen (99%) cuma naik sebanyak 3%.

Sekiranya situasi begini berlarutan, golongan kaya akan memiliki 64% kekayaan dunia dalam masa 11 tahun saja lagi.

Apakah kebimbangan kesan daripada gejala perseteruan kelas ekonomi?

Opinium dalam dapatannya mengatakan bencana paling menakutkan ialah ketidaksamaan kekayaan akan meningkatkan tahap korupsi dan kaum kaya akan mempengaruhi dasar-dasar dan polisi kerajaan.

Ahli ekonomi berbangsa Serbia, Branko Milanovic menegaskan dalam setiap sistem politik termasuklah demokrasi, golongan kaya lebih cenderung mempengaruhi kuasa politik.

Bahayanya ialah, kuasa politik akan digunakan untuk mempromosikan dasar-dasar yang memperkuat kekuatan ekonomi orang kaya. Semakin tinggi ketidaksamaan, semakin besar kemungkinan kita akan beralih arah daripada demokrasi ke plutokrasi.

Kira-kiranya mudah; semakin senjang aturan ekonomi, semakin kuat dominasi golongan kaya ke atas politik maka semakin nipislah peluang dan kesempatan rakyat kebanyakan dalam hal ehwal pendidikan, layanan kesihatan, politik dan sosial.

Bayangkan bagaimana teruknya hidup seorang pekerja Malaysia yang menerima gaji kurang dari RM2,000 dan terpaksa membelanjakan 95% dari gajinya?

Bagaimana masa depan pemegang akaun KWSP yang simpanannya kurang dari RM8,000 ?

Apa akan berlaku dengan idea “kemakmuran hidup” sekiranya akses kepada keperluan hidup semakin menggelisahkan?

Kita tidak bercakap soal moral mengenai sebuah kekayaan. Tetapi masalah utama daripada kesenangan yang dinikmati segelintir kaum melukis ketidakadilan dan mewujudkan penyakit sosial. Penyalahgunaan dadah, kes kriminal, bunuh diri dan kemiskinan? – semuanya dipengaruhi faktor kesenjangan ekonomi.

Kita perlu sedar dari mabuk, tuan-tuan.

Gaji yang kita peroleh setiap bulan tidak menepati taraf hidup sekarang. Segalanya tentang berapa helai not yang kita miliki. Kita dibebani hutang. Kita menyaksikan ratusan ribu unit rumah tidak terjual sedangkan setiap bulan kita dilanyak harga menyewa rumah kecil.

Hidup kita hari ini bukan ditumbuhkan dalam semangat kesamarataan, tetapi dalam sebuah pertandingan yang tidak adil. Kita bertaruh untuk kekal bernyawa dengan mereka yang memiliki kuasa dan peluang. Ketidaksamarataan ekonomi akhirnya akan membusukkan masyarakat.

Jika hari ini kita tidak mengambil bahagian secara langsung dengan mengambil langkah menulis semula peraturan bagaimana ekonomi kita dapat berfungsi, maka, secara literalnya kita sedang menggali lubang kubur sendiri menunggu untuk ditalkinkan.

Dunia masa depan untuk anak-anak kita akan menyaksikan korupsi adalah raja dan kemiskinan sebagai tamadun yang mencerai-beraikan institusi kemanusiaan.

Tidakkah ia kedengaran sangat mengerikan, bossku? – 22 Januari, 2019.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Ya sangat mengerikan.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Lilafitri Aly · Ulasan