Pembangkang menang 7 negeri kalau satu lawan satu, kata IDE


Melati A. Jalil

PARTI-PARTI pembangkang boleh menang empat negeri lagi dan meraih 59% undi popular sekiranya bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai sebuah pakatan, dedah satu kaji selidik hari ini.

Kaji selidik oleh Institut Darul Ehsan (IDE) itu menunjukkan sekiranya Pakatan Harapan bekerjasama dengan PAS pembangkang berpeluang kekal di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, dan merampas Kedah, Perak, Pahang dan Melaka daripada Barisan Nasional (BN).

Kaji selidik mengenai mood rakyat menjelang PRU14 itu juga menunjukkan sekiranya berlaku pertandingan satu lawan satu antara pakatan pembangkang dan BN, undi popular BN akan merosot 14% manakala undi popular pembangkang meningkat 13%.

“Inilah mood rakyat Malaysia hari ini, hanya 39% menyokong BN.

“BN akan hilang majoriti ⅔ di hampir semua negeri lain,” kata timbalan pengerusi IDE, Dr Mohammad Redzuan Othman, membentangkan hasil dapatan kaji selidik tersebut.

Selain tujuh negeri yang akan dikuasai oleh pembangkang, Redzuan juga berkata sekiranya tiada pertandingan satu lawan satu pembangkang akan menguasai semua 11 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pada PRU-13 lalu, BN hanya memenangi dua kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur iaitu Titiwangsa (Johari Abdul Ghani) dan Setiawangsa (Ahmad Fauzi Zahari).

“Kalau dapat 52% undi popular masih belum selamat, macam apa yang berlaku di Perak (pada PRU13).

“Tetapi dalam konteks Malaysia, kalau dapat lebih 58% (undi popular) selamat. Ini sukar ditandingi dan itulah yang berlaku di Selangor pada pilihan raya umum yang lepas apabila Pakatan dapat 58% (undi popular),” katanya.

Pada PRU13, gabungan pembangkang Pakatan Rakyat yang kini sudah bubar menang 52% undi popular berbanding 47% yang diperolehi BN.

Kaji selidik yang dinamakan Mood Rakyat itu dilakukan antara 11 hingga 15 Ogos melibatkan 4,486 responden di seluruh negara. Ia meliputi 130 daripada 165 kawasan Parlimen di Semenanjung Malaysia yang secara keseluruhan mempunyai hampir 12.1 juta pengundi.

Dalam kaji selidik itu, responden ditanya parti atau pakatan politik manakah yang akan mereka undi pada PRU14 sekiranya pilihan raya umum itu diadakan dalam masa enam bulan dari sekarang.

Kaji selidik itu juga mendapati 50% responden sudah membuat keputusan parti mana yang akan mereka pilih pada pilihan raya nanti, manakala 22% akan membuat keputusan selepas penamaan calon, 9% seminggu sebelum pengundian dan 19% pada hari pengundian.

Daripada soalan yang sama, kaji selidik itu mendapati kelompok pengundi muda yang berumur antara 21 hingga 30 tahun rata-rata masih belum menentukan parti mana yang akan mereka undi.

Kaji selidik itu turut mendedahkan hanya 19% pengundi berpuas hati dengan keadaan semasa politik dan amalan demokrasi di Malaysia dan rasa tidak puas hati itu merentas semua kaum utama Melayu, Cina dan India.

Ditanya tentang keadaan ekonomi negara dalam masa dua tahun ini, hanya 8% pengundi merasakan keadaan ekonomi negara meningkat, membayangkan mood rakyat kesan daripada kenaikan harga barang dan kos hidup.

Kaji selidik itu juga mendapati faktor ekonomi merupakan isu utama yang jadi perhatian pengundi dengan urutan keutamaan didahului oleh harga barang dan inflasi  diikuti isu-isu kenaikan kos sara hidup, kemiskinan dan ketidakseimbangan sosial, jenayah dan keganasan, dan akhir sekali pengangguran dan peluang kerja yang terhad.

Berhubung persepsi terhadap pentadbiran kerajaan, 29% pengundi menganggap prestasi Putrajaya cemerlang dan sangat cemerlang manakala 49% berpuas hati dengan prestasi kerajaan Selangor yang diketuai oleh PKR, 40% berpuas hati dengan prestasi kerajaan Pulau Pinang diketuai oleh DAP dan 39% terhadap kerajaan Kelantan di bawah PAS.

Sementara itu, Redzuan berpendapat ada dua kemungkinan bilakah masanya Parlimen akan dibubarkan, sama ada selepas penganjuran Sukan SEA atau apabila pakatan pembangkang berpecah.

“Bila Najib akan adakan pilihan raya? Ada dua keadaan: mood selepas Sukan SEA terutamanya apabila Malaysia lawan Thailand dalam akhir bola sepak, atau apabila pembangkang berpecah.

“Kalau dua keadaan ini berlaku, itulah masa terbaik untuk mengadakan pilihan raya. Tidak perlu tunggu sampai tahun depan.”

Kontinjen Sukan SEA Malaysia malam ini mencapai sasaran 111 emas dengan emas yang dinanti-nantikan dimenangi oleh Mohd Azizulhasni “The Pocket Rocketman” Awang dalam acara basikal pecut lelaki 200 meter di Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan. – 28 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen