SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan serbuan keenam di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Cyberjaya bagi membantu siasatan ke atas Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), hari ini.
Menurut sumber, SPRM membuat serbuan di SKMM bagi mendapatkan sebarang bukti dan keterangan melibatkan penyelewengan dan ketirisan tender di SSM.
Serbuan itu dikaitkan dengan dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa projek RM500 juta yang dilaksanakan SSM.
Pegawai penyiasat SPRM tiba di bangunan SKMM pada 9 pagi tadi bagi mencari fail dan dokumen yang dapat membantu siasatan dan meninggalkan suruhanjaya itu kira-kira 12 tengah hari.
Sumber itu berkata sebanyak dua kotak fail pentadbiran berjaya dirampas ketika serbuan dijalankan.
Sejak 9 Januari lalu, penyiasat SPRM berkunjung ke ibu pejabat SSM di Kuala Lumpur, sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan skandal projek bernilai RM500 juta.
Pada November tahun lalu, Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin di Dewan Rakyat berkata pihak berkuasa perlu menyiasat projek berdaya saing suruhanjaya itu yang didakwanya mempunyai unsur rasuah.
The Malaysian Insight difahamkan SPRM merampas semua dokumen itu bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa, ketirisan kontrak termasuk dakwaan rundingan terus yang diperkatakan sebelum ini yang membawa kerugian di pihak kerajaan serta penipuan kepada orang awam.
Selain ibu pejabat SSM, SPRM turut menyerbu empat lagi syarikat di ibu negara yang mana dua daripadanya merupakan firma perakaunan di Bangsar South dan firma penasihat pengurusan perniagaan di Sunway Nexis yang dipercayai ada kaitan dengan siasatan dakwaan skandal itu.
Semalam, SPRM merampas tujuh kotak dokumen dari ibu pejabat SSM di Kuala Lumpur dalam serbuan kelima sejak minggu lalu. – 18 Januari, 2019.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh FAIZ SUHAIMI · Ulasan