SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini merampas tujuh lagi kotak dokumen dari ibu pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Kuala Lumpur dalam serbuannya yang kelima sejak minggu lalu, kata pegawai kanan agensi anti rasuah itu.
Serbuan hari ini mengambil masa lebih kurang enam jam, bermula pukul 11 pagi dan berakhir 5 petang, kata sumber kepada The Malaysian Insight, bertujuan mencari fail dan dokumen yang boleh membantu siasatan.
Sumber tertinggi SPRM memberitahu hasil serbuan hari ini menjadikan kesemuanya 77 kotak dokumen sudah diambil dari ibu pejabat SSM sejak serbuan pertama pada 9 Januari lalu.
“Sehingga ke hari ini tiada lagi saksi yang dipanggil atau dirakam keterangan. Saksi akan dipanggil dalam masa terdekat,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sejak 9 Januari lalu, penyiasat SPRM berkunjung ke ibu pejabat SSM di Kuala Lumpur, sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan skandal projek bernilai RM500 juta.
Pada November tahun lalu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang bercakap di Dewan Rakyat, menyeru pihak berkuasa menyiasat projek berdaya saing suruhanjaya itu yang didakwanya mempunyai unsur rasuah semasa proses penganugerahan kontrak.
The Malaysian Insight difahamkan SPRM merampas semua dokumen itu bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa, ketirisan kontrak termasuk dakwaan rundingan terus yang didakwa menyebabkan kerajaan rugi serta penipuan kepada orang awam.
Sumber juga memberitahu, selain ibu pejabat SSM, SPRM turut menyerbu empat lagi syarikat di ibu negara, termasuk firma perakaunan di Bangsar South dan firma penasihat pengurusan perniagaan di Sunway Nexis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan dakwaan skandal tersebut. – 17 Januari, 2019.
Komen