Reman pengasas Skuad Badar disambung dua hari lagi


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pengasas Skuad Badar, Azhar Mohamad bersama seorang lagi ahli kumpulan itu direman bagi membantu siasatan terhadap dakwaan  menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2019.

PERINTAH tahanan reman ke atas pengasas Skuad Badar, Azhar Mohamad bersama seorang lagi ahli kumpulan itu dilanjutkan sehingga Sabtu bagi membantu siasatan terhadap dakwaan  menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Perintah sambungan dua hari itu dikeluarkan Majistret Mohamad Fared Abd Latif di Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah hari ini apabila mereka dibawa selepas reman empat hari sejak Isnin lalu berakhir hari ini.

Azhar dan seorang lagi ahli Skuad Badar ditahan di pejabat kumpulan itu di Sungai Petani pada Ahad malam.

The Malaysian Insight difahamkan polis turut menahan lapan lagi ahli skuad berkenaan yang direman dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut seksyen yang sama.

Lapan ahli berkenaan berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan polis malam tadi di sekitar Sungai Petani.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzli Abu Shah mengesahkan penahanan terkini dan pelanjutan reman Azhar kepada The Malaysian Insight.

Adzli turut memaklumkan pihaknya merampas sehelai rompi (vest) dengan tulisan “Skuad Badar Mencegah Kemungkaran dan Khidmat Masyarakat” serta telefon bimbit milik Azhar. 

Polis bertindak menahan Azhar berdasarkan satu laporan yang dibuat oleh seorang pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) di Sungai Petani.

Polis sebelum ini juga memberitahu The Malaysian Insight, Azhar ditahan dan disiasat mengikut Akta Rahsia Rasmi kerana mendedahkan komunikasi dalaman polis ke Facebook.

Skuad Badar yang menjalankan operasi cegah maksiat dalam kalangan masyarakat Islam di sekitar Sungai Petani tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan, pihak berkuasa menganggap operasi Skuad Badar melanggar undang-undang walaupun badan itu mendakwa operasinya mencegah kemungkaran dalam pengetahuan pihak polis dan pihak berkuasa agama, berdasarkan laporan dan makluman setiap kali sebelum operasi.

Awal Disember lalu, The Malaysian Insight melaporkan Azhar bertelagah dengan exco agama Kedah, Ismail Salleh selepas mendakwa pemimpin Amanah negeri itu campur tangan membatalkan forum anjuran Skuad Badar di sebuah masjid di Sungai Petani.

Azhar menuduh Ismail berdolak dalik selepas kononnya berjanji mahu membantu Skuad Badar berdaftar secara sah dengan pendaftar pertubuhan (RoS).

Azhar sebelum ini mengesahkan Skuad Badar yang beroperasi sejak dua tahun lalu tidak berdaftar dengan RoS. Beliau juga memberitahu pernah dua kali membuat permohonan pendaftaran tetapi ditolak oleh RoS.

Anggota Majlis Tertinggi Skuad Badar awal minggu ini memberitahu mereka menggantung operasi minggu ini sehingga Azhar dibebaskan daripada tahanan polis. – 17 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen