Kenapa kesetiaan Hishammuddin pada Umno dipersoal?


SM Amin

Hishammuddin Hussein Onn, antara bangsawan Umno dikatakan dalang keributan parti Melayu itu dan kesetiaannya jadi buah mulut ahli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2019.

HISHAMMUDDIN Hussein, yang didakwa dalang tindakan ahli Parlimen Umno keluar parti beramai-ramai, hari ini berpeluang membuktikan kesetiaannya pada parti apabila berkempen untuk Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Higlands.

Ini dipercayai kempen pertama beliau sejak empat pilihan raya kecil diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Sejak tidak mempertahankan jawatannya sebagai naib presiden Umno dan tidak pula menawarkan diri bertanding timbalan presiden atau presiden pada pemilihan Umno Jun lalu, Hishammuddin terpaksa membuat satu demi satu penafian tentang langkah politiknya.

Kelmarin, bekas presiden Umno Najib Razak yang juga sepupu beliau malah terpaksa buka mulut mempertahankan Hishammuddin.

Sejak Umno kalah PRU14, Hishammuddin tidak banyak membuat kenyataan media. Beliau yang kekal ketua Umno Bahagian Sembrong di Johor selepas tidak dicabar, juga tidak mencuri perhatian media.

Namun dalam kalangan ahli Umno, beliau diketahui aktif mengatur gerakan politiknya.

Walaupun tidak bertanding jawatan Majlis Tertinggi Umno, pegawai-pegawai beliau termasuk Setiausaha Politik Onn Hafiz Ghazi mengetuai kempen jentera Tengku Razaleigh Hamzah yang bertanding jawatan presiden Umno menentang Ahmad Zahid Hamidi, Khairy Jamaluddin dan dua calon lain.

“Hishammuddin tidak mahu duduk di bawah Zahid,” kata sumber dalaman parti kepada The Malaysian Insight, menjelaskan keputusan Hishammuddin tidak bertanding sebarang jawatan tinggi parti.

“Hishammuddin mungkin dilantik ke jawatan penting dalam parti sekiranya Tengku Razaleigh menang,” tambah sumber.

Dalam pemilihan tersebut, Zahid menang selesa, jauh meninggalkan pesaing lain.

Selepas Umno digemparkan dengan tindakan keluar parti wakil rakyatnya, Ahmad Zahid Hamidi berundur dan Mohamad Hasan naik tetapi pergolakan dalaman nampaknya masih belum selesai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2019.

Jumpa Dr Mahathir

Dua bulan setengah selepas pemilihan Umno, Hishammuddin mengadakan pertemuan sulit dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad – pada hari sama beberapa pemimpin tertinggi Umno yang diketuai Zahid juga berjumpa dengan pengerusi Pakatan Harapan itu.

Pertemuan itu kebetulan berlaku ketika dua bekas menteri kabinet Mustapa Mohamed dan Anifah Aman keluar Umno, mencetuskan spekulasi Hishammuddin juga akan menyusul.

Hishammuddin yang juga bekas menteri pertahanan kemudian mengesahkan pertemuannya dengan Dr Mahathir yang katanya bukan membincangkan langkah politik beliau termasuk keluar Umno sebaliknya “mendengar rancangan masa depan Dr Mahathir untuk Malaysia”.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, pertemuan itu turut membincangkan sokongan ahli Parlimen Barisan Nasional kepada Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Lebih kurang sebulan selepas pertemuan di Putrajaya itu, Umno bergegar dengan maklumat 30 ahli Parlimennya akan keluar parti – gerakan yang dikatakan didalangi oleh Hishammuddin.

Menurut khabar angin itu, Hishammuddin sendiri pula kononnya akan ditawarkan jawatan kabinet.

Ahli Parlimen Sembrong itu menafikan dakwaan tersebut.

Pertemuan Hishammuddin dengan Dr Mahathir Mohamad mencetuskan spekulasi besar-besaran Umno bakal lumpuh kerana wakil rakyatnya keluar untuk masuk Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2019.

Namun ia tidak memadamkan desas-desus itu apabila beberapa hari selepas itu, Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli mengumumkan keluar Umno untuk menyertai Parti Warisan Sabah.

Desas-desus itu terus bertiup kencang dalam kalangan Umno, sehingga memberikan gambaran parti itu berpecah pada tiga kumpulan – yang bersama Zahid mahu membentuk kerajaan dengan parti lain, yang bersama Hishammuddin mahu keluar parti dan menyertai kerajaan, dan yang ketiga, kekal mengukuhkan parti sebagai pembangkang.

Banyak pihak dalam Umno kembali menyorotkan tumpuan pada Hishammuddin apabila 21 daripada 25 ketua bahagian Umno di Sabah mengumumkan keluar parti. Mereka termasuk lima ahli Parlimen, sembilan wakil rakyat negeri dan dua senator.

Hishammuddin Hussein Onn dikatakan tidak mahu duduk bawah pentadbiran Ahmad Zahid Hamidi sehingga menggerakkan usaha mencabar Zahid ketika pemilihan. Zahid menang walaupun kini terpaksa berundur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2019.

Bangsawan jadi dalang

Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mendakwa ada “bangsawan” dalam parti yang menjadi dalang mengatur langkah politik keluar Umno itu, istilah yang difahami oleh banyak pihak merujuk pada Hishammuddin.

Hishammuddin, anak dan cucu bekas presiden Umno, sekali lagi menafikan dakwaan itu.

“Ada begitu banyak tuduhan terhadap saya mengenai Umno dalam enam bulan yang lepas, semuanya tidak benar,” tulis Hishammuddin di Twitter, menepis laporan media yang menamakan beliau sebagai “bangsawan” yang dimaksudkan oleh Khairy.

Namun kesetiaan Hishammuddin pada Umno terus dipersoalkan apabila dua hari kemudian, enam lagi ahli Parlimen Umno di Semenanjung keluar parti, menyebabkan dalam kalangan akar umbi Umno semakin lantang mempersoalkan kepimpinan Zahid sebagai presiden.

Langkah politik enam ahli Parlimen itu diketuai Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainuddin yang diketahui mempunyai hubungan yang baik dengan Hishammuddin.

Sehingga ini, 17 ahli Parlimen Umno sudah keluar parti. Umno yang menang 54 kerusi semasa PRU14 kini tinggal 37 kerusi di Dewan Rakyat.

Khairy Jamaluddin mendakwa gerakan berpaling tadah wakil rakyat Umno didalangi bangsawan parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2019.

Percutian Maghribi

Ketika Umno belum lagi pulih daripada kejutan itu, langkah politik Hishammuddin terus jadi perhatian apabila tersebar gambar percutian keluarganya dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali di Maghribi.

Gambar itu dimuat naik oleh anak lelaki Azmin di Twitter dengan tulisan: “Keluarga kami bersatu semula”.

Gambar itu dipadamkan sehari kemudian namun sempat memicu spekulasi tentang langkah politik dua pemimpin itu, ketika Azmin sendiri beberapa hari sebelum itu mempertikaikan secara terbuka kepimpinan Anwar Ibrahim sebagai presiden partinya.

Azmin menjelaskan beliau terserempak dengan Hishammuddin di Maghribi dan bukannya bercuti bersama.

Gambar Hishammuddin Hussein dan Mohamed Azmin Ali di Mahgribi mencetuskan spekulasi wujud konspirasi pakatan antara dua musuh politik itu. – Gambar Twitter, 16 Januari, 2019.

Minggu lalu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Armand Azha Abu Hanifah meminta Hishammuddin menyatakan pendiriannya untuk terus setia bersama parti itu selepas terpalit dengan dakwaan ‘tangan ghaib’ yang menjadi perbualan hangat dalam kalangan pemimpin parti.

“Ia perlu dilakukan supaya khabar angin yang bertiup dalam kalangan pemimpin akar umbi selama ini terjawab,” kata Armand.

Kelmarin, menjawab soalan dalam satu program dialog bersama ahli Umno di Shah Alam, Najib berkata beliau sudah mendapat jaminan daripada Hishammuddin bahawa sepupunya itu masih setia dan akan kekal bersama Umno.

“Saya juga menyebutkan, janganlah (berpaling), sayang dan kasihlah pada Umno kerana ini darah daging kita dan alhamdulillah dia beri pendirian itu kepada saya,” katanya. – 16 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen