Paris meletup, 2 anggota bomba maut


Letupan kedai roti disebabkan kebocoran gas di tengah Paris membunuh dua anggota bomba, mencederakan lebih 40 orang dengan 10 dilaporkan parah. – Gambar EPA, 12 Januari, 2019.

LETUPAN kuat memusnahkan bangunan di tengah Paris hari ini, membunuh dua anggota bomba dan mencederakan puluhan orang awam serta kerosakan teruk kepada bangunan berhampiran, kata pegawai.

Sekitar 200 anggota bomba dikerahkan untuk memadam kebakaran yang tercetus selepas letupan serta memindahkan mangsa dan penduduk kawasan itu, kata Menteri Dalam Negeri Christophe Castaner kepada wartawan di tempat kejadian.

Letupan berlaku di bandar itu ketika ia masih kecoh dengan bantahan anti kerajaan “jaket kuning” yang mencetuskan keganasan di Paris dan beberapa bandar besar lain sejak beberapa minggu lalu.

“Ia berlaku ketika orang awam berada di jalanan dan anggota bomba berada di dalam,” kata Castaner.

Sekitar 100 anggota polis menutup beberapa jalan di kawasan yang jadi tempat tarikan pelancong termasuklah muzium lilin, Musee Grevin dan Rue des Martyrs.

Polis juga menutup jalan di depan bangunan Garnier Opera bagi membolehkan helikopter penyelamat mendarat untuk membawa mangsa cedera.

Selain dua anggota bomba yang maut itu, 47 orang cedera dengan 10 antaranya parah, kata pejabat pendakwa raya Paris.

Letupan berlaku sekitar jam 9.00 pagi waktu tempatan dalam bangunan menempatkan sebuah kedai kek dan restoran di tingkayt bawah di Ninth Arrondissement.

Gegaran kuat dirasai sehingga empat bangunan, kata bomba Paris menambah yang mereka masih mencari mangsa yang mungkin terperangkap.

Bomba dikejarkan ke kawasan tersebut pada mulanya kerana kebocoran gas sebelum letupan berlaku, kata Pendakwa Raya Paris Remy Heitz di tempat kejadian.

“Mulanya ada kebocoran gas dan bomba tiba, kemudian ada letupan yang menyebabkan kebakaran,” kata Heitz.

Beberapa buah kereta dilihat terbalik dan serpihan bangunan berada di mana-mana serta puluhan mangsa dirawat di jalan.

Pelancong yang mendiami hotel di sekitar turut dipindahkan.

Banyak rumah dan bangunan di Paris menggunakan gas untuk pemanasan dan memasak, walaupun letupan kerana kebocoran gas sangat jarang berlaku. – AFP, 12 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen