Bekas pengarang eksekutif Harian Metro meninggal dunia


Mohd Zian Johari yang juga merupakan bekas pengarang Sukan Berita Harian berusia 64 tahun itu, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Serdang pada 12.25 tengah malam tadi.– Gambar Wikipedia, 12 Januari, 2019.

BEKAS pengarang eksekutif Harian Metro Mohd Zian Johari meninggal dunia akibat komplikasi jantung tengah malam tadi.

Allahyarham yang juga merupakan bekas pengarang Sukan Berita Harian berusia 64 tahun itu, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Serdang pada 12.25 tengah malam tadi.

Terdahulu jenazah Allahyarham, dikafan dan disolat di Masjid Ukay Perdana, di Kuala Lumpur sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kemensah, selepas Zohor pada jam 3.30 petang, hari ini.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan berkenaan apabila ratusan anggota keluarga serta rakan wartawan seperjuangan arwah memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Bercerita mengenai Allahyarham, isterinya, Fuzilah Hassan, 54, berkata arwah sebelum ini telah menjalani pembedahan jantung di hospital berkenaan dan dilaporkan stabil.

“Selepas pembedahan itu Allahyarham stabil, bagaimanapun terdapat jangkitan selepas pembedahan jantung berkenaan,” katanya ketika ditemui Bernama di tanah perkuburan berkenaan.

Ditanya mengenai penglibatan Allahyarham dalam bidang kewartawan, Fuzilah berkata suaminya telah bergiat dalam bidang kewartawanan selama lebih 30 tahun dan amat komited dalam tugasnya.

“Suami saya amat mengambil berat terhadap kakitangan dia (kakitangan Berita Harian) dan semua kakitangan sayang kepada beliau dan tidak akan melupakan jasa dan pengorbanan arwah,” katanya.

Allahyarham Mohd Zian meninggalkan seorang isteri serta empat anak lelaki dan dua anak perempuan. – Bernama, 12 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen