Keputusan PRK Cameron diumum sebelum 10 malam 26 Januari


PRK Cameron Highlands menyaksikan pertandingan empat penjuru antara M. Manogaran, 60, mewakili PH, Mohd Ramli Nor, 61, (BN) dan dua calon bebas Sallehudin Ab Talib, 61, dan petani Wong Seng Yee, 40. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Januari, 2019.

SUSULAN penambahbaikan sistem komunikasi antara saluran dan pusat penjumlahan undi, Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) menjangka keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dapat diumumkan sebelum 10 malam 26 Januari ini.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata sistem komunikasi terus antara lain dengan menggunakan aplikasi Whatsapp terbukti mempercepat serta melancarkan sistem pengurusan penjumlahan undi di tiga PRK sebelum ini iaitu PRK Balakong, Seri Setia dan Port Dickson.

“Apabila borang 14 diisi dan ditandatangani Ketua Tempat Mengundi ia akan dikomunikasi terus ke pusat penjumlahan undi dan pusat penjumlahan undi akan menghitung jumlah ini tanpa menunggu ‘hard copy’  sampai. Bila ‘hard copy’ sampai hanya kita sahkan dan kita boleh terus isytiharkan.

“Tambahan di sini (PRK Cameron Highlands) kita akan siarkan data terkini yang belum disahkan yang kita akan buat dalam portal SPR (jadi sistem ini akan membantu),” katanya.

Terdahulu pada sidang media sebaik proses penamaan calon selesai, beliau mengulangi jangkaan peratusan keluar mengundi SPR bagi PRK berkenaan sebanyak 70%.

Manakala, bagi memantau tempoh kempen 14 hari PRK berkenaan, SPR menubuhkan empat Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada PRK kali ini, SPR juga menyediakan surat Aku Janji mengandungi 10 aku janji yang perlu ditandatangani setiap calon supaya mereka mematuhi segala peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

PRK berkenaan yang diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan C. Sivarraajh daripada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi Parlimen itu, terbatal dan tidak sah.

PRK itu akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Timbalan Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran, 60, mewakili PH, bekas pegawai kanan polis Mohd Ramli Nor, 61, (BN) dan bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, serta Sallehudin Ab Talib, 61, dan petani Wong Seng Yee, 40, masing-masing sebagai calon bebas.

Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam pertandingan lima penjuru dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS/3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa/81 undi) dan B. Suresh Kumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM/ 680 undi). – Bernama, 12 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen