CEO baharu Firefly tekad 'tawan' semula laluan udara Singapura


Julia Yeow

Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See berharap syarikat dapat meneruskan penerbangannya ke Singapura menjelang Tahun Baru Cina yang menyaksikan perjalanan antara kedua-dua negara sibuk. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 11 Januari, 2019.

PHILIP See mungkin baharu sahaja memegang jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) Firefly kurang dua minggu, tetapi sudah dipertanggungjawabkan untuk menyelamatkan syarikat penerbangan itu daripada kemungkinan kerugian jutaan ringgit ketika pertikaian antara Malaysia dan Singapura berhubung isu ruang udara.

Sebulan sebelum mengambil alih, Firefly terpaksa menggantung penerbangannya ke Singapura - destinasi kedua paling popularnya selepas Pulau Pinang - apabila permohonannya berpindah ke Lapangan Terbang Seletar tidak diluluskan pihak berkuasa penerbangan Malaysia, dan slot pendaratannya di Lapangan Terbang Changi diberikan kepada syarikat penerbangan lain.

Syarikat itu terpaksa membayar balik penumpang atau mengarahkan mereka kepada Malaysia Airlines, menyebabkan ia menanggung kos kerugian antara RM15 hingga RM20 juta.

See, yang menjadi ketua strategi dan rangkaian di Malaysia Airlines ketika itu, berkata keutamaannya adalah memujuk Changi Airports Group (CAG) untuk sementara mengembalikan slot pendaratan Firefly sehingga isu dengan Seletar diselesaikan.

Ini akan membolehkan Firefly terbang terus ke Singapura sehingga kedua-dua kerajaan menemui penyelesaian pertikaian itu.

“Kami berdebat, adakah kami perlu menunggu sehingga mereka menyelesaikan masalah Seletar dan kami bermula baharu sahaja di Seletar?” Kata See.

“Tetapi banyak yang boleh diperoleh jika kami mewujudkan sekali lagi hubungan dengan Changi, jadi kami memutuskan sekali lagi membuat permintaan bagi slot pendaratan kami,” katanya kepada The Malaysian Insight.

See berkata beliau ingin menyelesaikan isu itu melalui diplomasi, sebagaimana tindakan Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatannya dari Singapura, Vivian Balakrishnan baru-baru ini memutuskan perbincangan mereka di republik itu.

“Perpindahan dari Changi ke Seletar adalah bergantung kepada infrastruktur dan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) yang baru siap.

“Susulan penangguhan ILS, situasi ketika itu adalah Seletar belum bersiap, jadi kami tidak dapat berpindah ke Seletar. Oleh itu, kami mempunyai hak meminta supaya terus berada di Changi sehingga ada penyelesaian kepada sistem ILS,” katanya.

“Kami juga mahu mengambil sikap lebih diplomatik dan bersopan dengan meminta Lapangan Terbang Singapura membenarkan slot pendaratan sementara di Changi.”

See berkata laluan Subang-Seletar adalah “talian hayat” Firefly dalam pasaran dan industri yang sangat berdaya saing, dan kelewatan menanganinya mengakibatkan kos kepada syarikat.

“Ia mungkin lebih mudah dan selamat dengan menunggu Seletar,” katanya.

“Tetapi sebenarnya ada perniagaan yang perlu dibuat, hubungan yang perlu disambung, jadi mari  lakukannya walaupun rumit bagi kami.”

Firefly beroperasi dengan 20 penerbangan harian turboprop - pergi balik dari Subang, Ipoh dan Kuantan - di Lapangan Terbang Changi sebelum penggantungan.

Syarikat penerbangan yang pertama kali berjaya mengurangkan kerugian bersihnya dari RM250 juta pada 2015 kepada RM36.65 juta pada 2017, dan dilaporkan memperoleh keuntungan kukuh dalam tiga suku pertama 2018 sebelum dikejutkan dengan berita mengenai Seletar.

See berkata syarikat penerbangan itu kini menunggu maklum balas daripada pihak berkuasa penerbangan Singapura berhubung permintaan terbaharu - dihantar sehari selepas mesyuarat menteri - memberikan semula slot pendaratan sementara di Lapangan Terbang Changi.

“Kami bersedia berpindah seawal 21 Januari. Hanya menanti kebenaran daripada CAG untuk memberikan kami semula slot.”

See berkata beliau berharap syarikat penerbangan itu akan dapat meneruskan penerbangannya ke Singapura pada masa menjelang Tahun Baru Lunar yang menyaksikan perjalanan antara kedua-dua negara sibuk.

“Apa yang penting dalam fikiran saya ialah memastikan kita membina hubungan semula sebelum Tahun Baru Cina kerana itu paling berharga.

“Ia juga simbolik bagi negara untuk menghubungkan komuniti pada masa yang terbaik.” – 11 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen