China tawar siasat pemberi maklumat 1MDB kepada WSJ


China dilaporkan cuba membantu Malaysia mengenal pasti pemberi maklumat mengenai skandal 1MDB sebagai balasan terhadap sokongan inisiatif 'Belt and Road'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2019.

CHINA pernah menawarkan memasang peranti pepijat di rumah dan pejabat beberapa wartawan The Wall Street Journal (WSJ) di Hong Kong yang menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk mengetahui siapa membocorkan maklumat kepada mereka, menurut minit mesyuarat daripada beberapa siri mesyuarat tidak disebutkan yang dilihat oleh WSJ.

Wartawan WSJ adalah pihak yang mula-mula mendedahkan skandal rasuah 1MDB bernilai berbilion dolar.

Dilaporkan pegawai China memberitahu delegasi Malaysia yang melawat, mereka akan cuba untuk mendedahkan siapa yang membocorkan maklumat kepada wartawan WSJ yang berpangkalan di Hong Kong.

Ini adalah beberapa langkah yang dibuat oleh China untuk menyelamatkan 1MDB, gagasan idea bekas perdana menteri Najib Razak sebagai balasan kepada perjanjian berkaitan inisiatif “Belt and Road” pada 2016, lapor WSJ hari ini.

Ia juga melaporkan dalam beberapa bulan itu, Najib, yang sebelum ini menafikan sebarang salah laku dalam skandal 1MDB, menandatangani projek rel, saluran paip dan beberapa urus niaga lain bernilai AS$34 bilion dengan syarikat China, yang akan dibiayai oleh bank China dan dibina oleh pekerja dari negara itu juga.

WSJ juga melaporkan Najib juga memulakan rundingan rahsia dengan pemimpin China untuk membenarkan kapal tentera laut China berlabuh di dua pelabuhan Malaysia, kata dua orang yang mengetahui mengenai perbincangan itu.

Kebenaran itu akan menjadi konsesi penting kepada Beijing, yang bertujuan memperluahkan pengaruh perairan di Laut China Selatan, tetapi tidak berlaku. – AFP, 8 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen