Skandal ‘1MDB kecil’ Terengganu susahkan rakyat


Sheridan Mahavera

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad (tiga dari kiri) bersama barisan pemimpin pakatan itu pada ceramah “Selamatkan Malaysia” di Besut, Terengganu, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Ogos, 2017.

KETIKA semua pihak fokus kepada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), orang ramai tidak sedar yang Terengganu juga ada “1MDB kecil” sendiri, kata wakil rakyat pembangkang.

Defisit bajet negeri yang tidak dijelaskan sepanjang 10 tahun lalu dan projek terbengkalai adalah skandal yang sama dengan 1MDB dalam bentuk penyalahgunaan kuasa dan mencuri duit rakyat, kata mereka.

Dakwaan itu didedahkan Adun Bandar Azan Ismail dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dalam ceramah Pakatan Harapan (PH) bertajuk “Selamatkan Malaysia” di Besut, malam tadi.

Azan berkata tahun lalu, kerajaan negeri Terengganu membelanjakan RM2 bilion tetapi hanya mengutip pendapatan RM1 bilion.

Beliau mempersoalkan percanggahan antara dua angka itu, berkata tidak dapat dijelaskan yang kerajaan negeri membelanjakan RM2 bilion untuk populasi hanya 1.2 juta.

Pengerusi PKR Terengganu itu berkata di sebalik semua wang yang dibelanjakan itu, keluarga nelayan di Terengganu masih memperoleh purata pendapatan bulanan RM400 hingga RM460.

“Ada kemungkinan besar yang separuh daripada wang yang dibelanjakan itu, dibazirkan kerana salah urus, salah guna atau mungkin ia dicuri.

“Kerana kerajaan negeri tidak memberi penjelasan, terdapat banyak syak wasangka bagaimana sebenarnya mereka belanjakan duit kita,” katanya.

Dalam persembahan slaid, Raja Bahrin membangkitkan tiga projek kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) yang gagal, secara kolektifnya menyebabkan kerugian pembayar cukai sebanyak RM900 juta.

Pertama ialah pembinaan stadium di Gong Badak dengan kos RM300 juta tetapi tidak boleh digunakan kerana bumbungnya runtuh.

“Kemudian kawasan bebas cukai di Kenyir dengan kos RM300 juta, tetapi ia juga gagal,” kata Raja Bahrin.

Projek terbengkalai yang terbaru ialah hab kolej Taman Ilmu bernilai RM300 juta di Besut yang masih lagi belum digunakan kerana berlaku kerosakan.

Katanya, kontrak RM45 juta untuk membaiki projek itu terpecah di antara 17 sub kontraktor yang semuanya ada rekod yang bermasalah.

“Ada antara syarikat itu di luar Terengganu, jadi persoalannya ialah mengapa mereka beri pada orang luar. Lebih teruk lagi, sesetengahnya syarikat RM2,” katanya. – 26 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen