SARAWAK hari ini mengumumkan sedang berusaha untuk mengeluarkan pelancongan daripada senarai persekutuan di bawah jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan.
Pengumuman ini dibuat selepas Sarawak sebelum ini mengatakan telah melantik pengerusi dan lembaga syarikat minyak milik negeri itu, Petros.
Ketua Menteri Abang Johari Openg juga pada Jun lalu berkata Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) akan mula beroperasi pada Januari 2018. Lembaga gabenor DBOS diumumkan baru-baru ini.
Dengan adanya sebuah bank pembangunan baharu dan syarikat minyak yang dikawal negeri sepenuhnya, Sarawak hari ini menuntut untuk lebih bersuara dalam hal-hal pelancongan.
Menteri Pelancongan Negeri Abdul Karim Hamzah berkata perkara berkaitan pelancongan tidak pernah diletakkan di bawah kuasa kerajaan negeri, sambil menambah perbincangan bersama Putrajaya mengenai isu ini sudah dijalankan.
“Memandangkan pelancongan tiada dalam senarai persekutuan atau negeri selepas Perjanjian Malaysia 1963 ditandatangani, secara automatik ia akan jatuh dalam senarai bersama.
“
“Di bawah perlembagaan persekutuan, perkara di bawah senarai bersama adalah perkara di bawah bidang kuasa negeri,” kata Abdul Karim selepas merasmikan pembukaan persidangan Orkid Pra-Asia di ibu negeri hari ini.
Beliau berkata atas sebab itulah Sarawak sentiasa melihat pelancongan sebagai urusan negeri dan menambah sebab itu jugalah negeri mempunyai menteri pelancongan lebih dari sedekad sebelum Putrajaya melantik menteri pelancongannya.
“Kami sudah ada menteri pelancongan sejak 1985. Menteri pelancongan kerajaan persekutuan pula bermula 1994,” kata Karim. Beliau juga berkata Putrajaya yang “secara senyap-senyap memasukkan” pelancongan dalam senarai persekutuan.
Karim juga berkata sejak Sarawak dan Sabah sering melihat pelancongan sebagai urusan negeri, kedua-dua negeri Borneo itu menubuhkan lembaga pelancongan sendiri bagi menguruskan promosi pelancongan.
“Adakah anda melihat negeri-negeri lain di semenanjung buat begitu? Jadi, persoalannya sekarang ialah sama ada pelancongan adalah hak kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri.
“Bukan pelancongan saja. Ada banyak perkara yang kerajaan negeri rasakan telah dihakis daripada hak kami sejak 1963 hingga hari ini.
“Kami serius untuk mengeluarkannya (pelancongan) daripada senarai persekutuan.”
Beliau juga berkata Sarawak dan Sabah sedang bekerjasama ke arah itu.
“
Dakwaan Karim Putrajaya tidak menghormati hak Sarawak apabila mencadangkan untuk mengenakan cukai pelancongan yang diumumkan Menteri Pelancongan Nazri Aziz sehingga membawa kepada pertikaian.
Karim pada minggu lepas meminta Nazri menjelaskan mekanisme cukai pelancongan kepada kerajaan Sarwak dan Sabah selepas Nazri menolak perjanjian untuk berkongsi hasil cukai sama rata antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Pada bulan lepas, Nazri berkata beliau merancang bahawa setiap RM1 bagi setiap cukai RM10 yang dikenakan untuk setiap bilik setiap malam dikumpulkan dan dikembalikan kepada Sabah dan Sarawak. – 25 Ogos, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan