Isu cukai pelancongan berterusan, Nazri bidas Rahman Dahlan pula


MENTERI Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz membidas rakan Kabinetnya Abdul Rahman Dahlan dalam pertelingkahan berterusan berhubung isu cukai pelancongan yang kontroversi.

Rahman sebelum itu cuba mempertahankan menteri Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah, yang Nazri label sebagai “setahun jagung”, dan berkata Karim seorang ahli politik berpengalaman walaupun beliau menteri baharu di negeri itu.

Dalam responsnya, Nazri berkata Rahman juga baharu dan patut menyerahkan padanya untuk menyelesaikan pertikaian dengan Karim yang bertanggungjawab dalam pelancongan Sarawak.

“Dia (Rahman) menteri baharu. Beliau memegang satu jawatan dan ditukar kepada jawatan lain tidak lama kemudian. Jadi, saya fikir lebih baik dia tidak terlibat dan biarkan saya selesaikan perkara ini dengan Karim.

“Dia tidak perlu menasihati menteri kanan dan saya tidak perlukan bantuannya. Lagipun dia dari Malaysia timur, dia tidak neutral,” kata Nazri dipetik daripada Free Malaysia Today.

Beliau berkata jika Karim ahli politik berpengalaman, beliau sepatutnya meminta penjelasan mengenai cukai pelancongan terlebih dulu, bukannya terus menyerang dan mengatakan kerajaan persekutuan tidak sensitif, padahal perkara itu (cukai pelancongan) sudah lama dibincangkan.

Rahman yang juga ahli Parlimen Kota Belud menerusi Twitter berkata menteri persekutuan sepatutnya perlu bertolak ansur dengan rakan sejawat dari negeri itu atau ia akan merumitkan lagi usaha menjelaskan mengenai cukai berkenaan.

Cukai pelancongan yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Julai dikecam banyak pihak terutama wakil rakyat kedua-dua bahagian kerajaan dan pembangkang, terutama dari Sabah dan Sarawak.

Karim mendesak kerajaan persekutuan menangguhkan cukai itu, tetapi Nazri menyelarnya dan berkata beliau tidak faham mengenai cukai dan potensi manfaat yang akan dibawa bersama, dan turut menggelar Karim “samseng”.

Dalam responsnya, Karim berkata beliau tidak gentar dengan kenyataan Nazri, yang dikatakannya sebagai sombong dan tidak beradab kerana cukai itu dilaksanakan tanpa rundingan dengan kerajaan negeri terlebih dulu. – 12 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen