Pasaran hartanah dijangka mula pulih pada suku kedua 2019


Andrew Chin

Malaysia sedang mengalami situasi lambakan rumah tidak terjual kerana harga yang tinggi sedangkan pendapatan isi rumah tidak meningkat seterusnya memberi kesan kepada ekonomi negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2019.

PASARAN hartanah dijangka menunjukkan tanda-tanda mula pulih pada suku kedua dan ketiga 2019 selepas menjunam pada 2018, kata penganalisis.

“Mereka yang mahu berjimat perlu segera bertindak,” kata Pengerusi SwhengTee International Real Estates Investor Club Gavin Tee.

Tee berkata harga semasa adalah rendah disebabkan wujud fenomena lambakan bekalan dalam pasaran perumahan Malaysia.

Katanya, apabila terdapat situasi lambakan bekalan, pembangunan akan dikurangkan dan unit tidak terjual sebelum ini akan mula terjual perlahan-lahan menyebabkan harga akan kembali naik disebabkan permintaan semakin tinggi.

“Berdasarkan kajian saya, pasaran hartanah Malaysia dalam keadaan tidak stabil sejak 2016. Di sesetengah kawasan, wujud lambakan bekalan hartanah dan harga jatuh.

“Saya juga mendapati hartanah di kebanyakan tempat di Malaysia berada pada tahap terendah, dalam aspek harga rumah, kos pembinaan dan ekonomi tempatan, ia sudah berada pada tahap terendah, dan selepas hartanah mencapai tahap terendah, kecuali ekonomi negara runtuh, ia pasti akan naik kembali,” kata Tee pada sebuah wawancara baru-baru ini.

Katanya, pemaju juga sudah mula menurunkan harga unit tidak terjual untuk mengelak kerugian.

Pemaju yang mahu elak rugi dan dapatkan kembali modal mereka perlu menurunkan harga rumah, langkah proaktif dalam situasi kelembapan ekonomi kini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2019.

The Malaysian Insight melaporkan yang pemaju hartanah yang mahu mendapatkan kembali modal mereka dan mengelak terus rugi perlu menurunkan harga rumah tidak terjual, seperti mana data terbaru menunjukkan kemelut pasaran hartanah yang semakin buruk di Malaysia.

Radzi Tajuddin, ketua pegawai eksekutif Hartabumi, portal hartanah untuk lot Bumiputera di Lembah Klang berkata berbanding menunggu sahaja situasi ekonomi semakin pulih, pemaju mengambil tindakan proaktif dengan menurunkan harga unit tidak terjual.

“Pemaju perlu turunkan harga memandangkan pasaran sangat mencabar. Unit rumah juga sudah semakin banyak, pendapatan isi rumah pun bukan meningkat terlalu banyak… jadi langkah yang boleh diambil ialah untuk turunkan harga,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Statistik daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) mendedahkan yang hartanah tidak terjual di seluruh negara dianggarkan bernilai RM19.54 bilion, naik 56.44% berbanding RM12.49 bilion tahun lepas.

Setakat September tahun lepas, jumlah unit kediaman siap tetapi tidak terjual berjumlah 30,115- meningkat 48.35% berbanding 20,304 unit pada 2017.

Hartanah tidak terjual di seluruh negara dianggarkan bernilai RM19.54 bilion, naik 56.44% berbanding RM12.49 bilion tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2019.

Tee percaya pada enam bulan pertama 2019, pasaran perumahan negara akan kekal sama, kerana banyak projek ekonomi atau dasar kerajaan baharu hanya akan dilaksanakan pada separuh kedua.

Tee berkata pemulihan akan mengambil masa.

“Selepas pasaran rumah domestik kembali naik pada suku kedua atau ketiga tahun ini, pasaran hartanah akan pulih pada 2020,” tambahnya.

Beliau juga menasihati pelabur untuk memahami faktor penentu harga rumah.

“Misalnya, harga semasa rumah mungkin 10% lebih tinggi daripada harga pasaran, tetapi ruang pertumbuhan masa depan juga besar.”

Selain itu, Tee berkata sewa juga memberi kesan kepada harga hartanah terutama sekali dalam sektor komersial. – 2 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen