Pemaju digesa mengalah turunkan harga rumah


Nabihah Hamid

Pemaju bertanggungjawab terhadap lambakan hartanah tidak terjual kerana membina rumah atau unit kedai tanpa memahami kehendak pasaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2018.

PIHAK pemaju hartanah perlu mengalah untuk menurunkan harga rumah bagi memastikan unit yang tidak laku terjual dan tidak menyumbang kepada lambakan hartanah, kata Ketua Pegawai Eksekutif Hartabumi, Radzi Tajuddin.

Pengasas portal jual beli hartanah untuk Bumiputera itu berkata pihak pemaju tidak perlu bimbang keuntungan mereka terjejas sekiranya mengambil langkah menurunkan harga unit yang tidak terjual.

“Pemaju perlu turunkan harga memandangkan pasaran sangat mencabar. Unit rumah juga sudah semakin banyak, pendapatan isi rumah pun bukan meningkat terlalu banyak… jadi langkah yang boleh diambil ialah untuk turunkan harga,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau menambah lambakan hartanah tidak terjual meningkat kerana salah pemaju juga, membina rumah atau unit kedai tanpa memahami kehendak pasaran.

“Pemaju sudah tahu salah bina produk jadi kenalah turunkan harga. Margin kecil sedikit. Daripada ada 100 unit tidak terjual yang membawa (hasil jualan) RM50 juta, ia tidak akan dapat apa-apa jika tidak dijual.

“Jadi daripada mengharapkan jual kesemua unit untuk RM50 juta, mereka boleh jual dengan harga RM40 juta, dan masih lagi dapat untung,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Statistik Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) menunjukkan pada masa ini hartanah yang tidak terjual bernilai RM19.54 bilion, naik 56.44% daripada RM12.49 bilion setahun lalu.

Setakat September lalu, unit kediaman yang sudah siap tidak terjual meningkat kepada 30,115 unit, bertambah 48.35% daripada 20,304 unit tahun sebelumnya.

Bagi mengatasi lambakan itu, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) merancang untuk melancarkan kempen pemilikan rumah bulan depan.

Bagaimanapun Radzi berpendapat, pemaju terlibat tidak harusnya bergantung pada kerajaan sekiranya gagal menjual hartanah mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Hartabumi, Radzi Tajuddin berkata pemaju tidak perlu bimbang keuntungan terjejas jika ia mengambil langkah menurunkan harga unit yang tidak terjual. – Gambar The Malaysian Insight, 30 Disember, 2018.

“Sebab dari mula lagi pemaju yang keluarkan produk yang salah, jadi pemaju perlu hadapi kerugian dan tidak perlu minta kepada kerajaan bagi tanah supaya bantu pembeli rumah pertama.

“Jangan tunggu lama dengan mengharapkan bantuan kerajaan, (gesa) kerajaan nak kena bagi insentif kepada rakyat,” katanya lagi.

Sebaliknya, beliau percaya kerajaan boleh membantu hanya sebagai orang tengah dengan menyediakan data berkaitan permintaan pasaran hartanah di seluruh negara, yang harus melibatkan semua pihak termasuk pemaju.

“Kerajaan perlu ketuai usaha pengumpulan data ini dan kena bekerjasama dengan pemain industri.

“Dengan cara itu kita tahu berapa yang ada di pasaran, produk mana terjual atau tidak. Tapi kita tak tahu permintaan sebenar,” katanya lagi.

Hartabumi.com kini mempunyai lebih 50,000 data dan maklumat permintaan dalam pasaran meliputi Lembah Klang dan Selangor.

JPPH mentakrifkan unit tidak terjual sebagai selepas sembilan bulan selepas dilancarkan berharga kurang daripada RM1juta.

Kira-kira 3,500 unit yang tidak terjual berharga dari RM200,000-RM250,000 manakala sebahagian besar tidak terjual berharga RM500,000 ke atas, lebih daripada 12,000 unit. – 31 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen