Beri sejam, Hadi sedia jawab kontroversi ‘Amanat Hadi’


PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang sekali lagi meminta ruang dan peluang bersiaran secara langsung selama sejam melalui mana-mana televisyen tempatan untuk menjelaskan amanat politiknya yang kontroversi sejak 30 tahun lalu.

Menerusi laporan Sinar Harian hari ini, anaknya Muhammad Khalil dipetik sebagai berkata bapanya sedia menjelaskan isu “Amanat Hadi” jika diberikan tempoh sejam itu.

Beliau berkata tempoh sejam itu dapat menjelaskan segalanya berkaitan kontroversi berkenaan termasuk kini turut dikaitkan dengan tragedi berdarah Memali, 32 tahun lalu.

“Beri satu jam siaran langsung, sila beri ruang kepada presiden PAS menjawab isu Amanat Hadi secara langsung di televisyen tempatan.

“Ketika isu ini ditimbulkan dulu, beliau pernah minta satu jam mengulas tetapi tidak diberikan ruang.

“Kalau pihak terbabit memberikan peluang itu kepada Tok Guru untuk jawab isu ini dalam televisyen tempatan adalah lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Khalil turut menolak dakwaan bapanya berkeberatan berjumpa wartawan bagi menjawab persoalan itu.

Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mencadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat peristiwa Memali menyemak semula “Amanat Hadi” kerana ucapan itu ada kaitan dengan peristiwa berdarah lebih tiga dekad itu.

“Amanat ini menggalakkan perjuangan lawan kerajaan sebagai jihad dan kematian pejuang adalah syahid,” katanya menerusi blognya Chedet.

Dr Mahathir turut melampirkan petikan ucapan itu dalam ceramahnya di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April, 1981 yang dipegang ahli PAS di seluruh negara pada masa itu.

Sementara itu, bekas ketua polis negara Rahim Noor dipetik berkata “Amanat Hadi” menjadi inspirasi kepada pengikut PAS ketika itu, dengan Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali Ibrahim Libya, antara yang memegang teguh amanat itu.

“Ada dua elemen penting dalam ‘Amanat Hadi’ ini. Pertama, dia kata orang Islam tidak perlu menjadi Kristian, Yahudi, Nasrani untuk menjadi kafir, cukup dengan mengamalkan politik suku, agama suku, mereka sudah menjadi kafir.

“Kedua, dia kata perjuangan yang dilakukan mereka adalah jihad dan sekiranya terkorban dalam perjuangan, mati mereka adalah syahid,” kata Rahim. – 24 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen