Memali ada kaitan dengan 'Amanat Hadi', kata Dr Mahathir


Dalam tulisan terbaru Dr Mahathir Mohamad, beliau menyindir kerajaan dengan menyarankan semua projek pembangunan yang dijayakan semasa pentadbirannya disiasat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2017.

DR Mahathir mencadangkan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang hendak ditubuhkan bagi menyiasat peristiwa Memali menyemak semula ucapan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang dibuat 36 tahun lalu, atau “Amanat Hadi”, kerana ucapan itu ada kaitan dengan peristiwa berdarah lebih tiga dekad itu.

“Amanat ini menggalakkan perjuangan lawan kerajaan sebagai jihad dan kematian pejuang adalah syahid,” katanya dalam tulisan terbaru di blog Chedet, hari ini.

Dr Mahathir turut melampirkan “Amanat Hadi” yang merupakan petikan ucapan presiden PAS itu dalam ceramahnya di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 yang dipegang ahli PAS di seluruh negara pada masa itu.

Ucapan itu dianggap titik penting dalam politik orang Melayu pada dekad 1980-an yang menyaksikan perpecahan terburuk orang Melayu sehingga melibatkan tuduhan kafir-mengkafir, sembahyang dua imam dan pulau-memulau dalam kegiatan masyarakat termasuk urusan jenazah.

Dr Mahathir berkata “Amanat Hadi” itulah yang menyebabkan empat anggota polis terbunuh dalam “serangan hendap” pada pagi 19 November 1985 di Kampung Memali, Baling, Kedah, seperti yang disebut oleh Musa Hitam dalam ucapannya selaku pemangku perdana menteri, di Parlimen sehari selepas kejadian.

Musa memangku jawatan itu kerana Dr Mahathir ke China untuk lawatan rasmi.

Dalam kejadian Memali, selain empat anggota polis, guru agama yang juga pemimpin PAS setempat Ibrahim Mahmood atau Ibrahim Libya terbunuh bersama 13 pengikutnya dalam serbuan polis bertujuan menahan beliau di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Yang jelas ialah polis yang terbunuh dahulu, kerana pengikut Ibrahim berjihad kononnya,” kata Dr Mahathir.

Bekas Ketua Polis Negara Abdul Rahim Noor semalam memberitahu The Malaysian Insight siasatan suruhanjaya diraja terhadap peristiwa Memali pasti akan sampai juga kepada “Amanat Hadi”.

Kertas Putih yang dikemukakan ke Parlimen bertarikh 26 Februari 1986 juga menyebut hal yang sama, mengaitkan “Amanat Hadi” dengan peristiwa Memali.

Buatlah banyak lagi RCI

Sementara itu, Dr Mahathir menyarankan kepada kerajaan supaya menubuhkan lebih banyak lagi suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat semua perkara yang dilakukan semasa pentadbirannya, tetapi tidak payah adakan suruhanjaya untuk menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad.

“Ya, RCI tidak perlu untuk semua ini. Bukankah AG (Peguam Negara) telah sahkan ia semua halal,” kata bekas perdana menteri itu

Dr Mahathir menyarankan kepada kerajaan supaya semua projek pembangunan yang dijayakan semasa pentadbirannya disiasat oleh suruhanjaya diraja. Ini termasuk pembinaan Menara Berkembar Petronas, Putrajaya, Cyberjaya, Lebuhraya Utara-Selatan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pelabuhan Westport dan lain-lain.

“Semua ini perlu disiasat dengan diketuai oleh tokoh keadilan terkenal berslogan “just do it”. Buat sahaja apa yang disuruh. Jangan soal,” katanya, yang menyifatkan “sekarang ini musim RCI” dan ada bermacam-macam siasatan yang telah disyorkan.

RCI yang ditubuhkan oleh kerajaan Perdana Menteri Najib Razak bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia yang dicatitkan semasa era Dr Mahathir memulakan prosidingnya Isnin lalu.

Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesediaan untuk menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat peristiwa berdarah Memali yang membunuh 18 nyawa termasuk 4 anggota polis — yang juga berlaku semasa Dr Mahathir jadi perdana menteri.

Tentang RCI berhubung peristiwa Memali, Dr Mahathir berkata beliau mengalu-alukan penubuhan suruhanjaya itu.

“Saya punyai banyak bukti, laporan dan cerita berkenaannya. Ini termasuk individu-individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung,” katanya.

Musa hari ini mengusulkan agar suruhanjaya diraja peristiwa Memali itu, kalaulah nanti ditubuhkan oleh kerajaan, hanya menyiasat peristiwa Memali selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), bagi mengelak dijadikan bola politik atau alat kepentingan politik untuk memancing undi.

“Saya yakin mana-mana pihak yang benar-benar serius dan jujur, serta mahu mengetahui latar belakang dan kejadian sebenar peristiwa Memali, akan bersetuju untuk penubuhan dan prosiding RCI ditangguhkan sehingga selesainya PRU14,” katanya

Musa tiga tahun lalu mendedahkan Dr Mahathir ada di dalam negara semasa kejadian dan beliau ada memohon pada bekas perdana menteri itu supaya menangguhkan lawatan ke China tetapi Dr Mahathir enggan dan meminta beliau menguruskan isu Memali.

Dr Mahathir dalam reaksinya berkata beliau tidak ingat apakah bekas timbalannya itu ada menasihatinya supaya menangguhkan lawatan kerja ke China susulan insiden Memali.

Ekoran pendedahan Musa itu, cadangan penubuhan RCI untuk menyiasat semula peristiwa Memali dibangkitkan oleh pemimpin PAS dan beberapa pihak lain termasuk pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Dalam satu wawancara dengan Astro Awani tahun lalu Musa berkata beliau sudah penat menanggung beban sejarah jadi kambing hitam dipertanggungjawabkan atas kematian 18 orang termasuk empat anggota polis, “selama 30 tahun dikatakan jadi pembunuh”.

Sejarah Memali lebih tiga dekad itu muncul semula selepas Hadi mendakwa kekecohan semasa forum “Nothing to Hide 2.0” baru-baru ini tercetus kerana jawapan Dr Mahathir berkenaan peristiwa Memali tidak memuaskan hati hadirin.

Susulan itu, pemimpin kanan PAS mengulangi desakan supaya kerajaan menubuhkan RCI menyemak semula peristiwa 32 tahun lalu itu dan Zahid menyatakan kesediaan kerajaan untuk berbuat demikian “sekiranya ada permintaan”.

Kenyataan Zahid itu dialu-alukan oleh PAS yang mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa membela nasib mangsa Memali dan bercadang membawa waris keluarga bertemu Zahid di Putrajaya. – 23 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen