Surat sokong PM bukan desak Zahid undur, kata ahli Parlimen Umno


SM Amin

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berdepan desakan dalam parti itu untuk beliau meletakkan jawatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2018

SURAT sokongan 36 ahli Parlimen kepada Dr Mahathir Mohamad tiada kaitan dengan kemelut kepimpinan Umno mendesak Ahmad Zahid Hamidi letak jawatan, atau mereka mahu menyertai Bersatu, kata beberapa ahli parlimen terlibat.

Selain sokongan kepada perdana menteri, melalui surat itu mereka memohon Putrajaya memberikan mereka peruntukan kewangan yang setara dengan ahli Parlimen kerajaan.

Mereka juga mahu kerajaan meneruskan projek pembangunan di kawasan mereka yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

“Sesiapa pun kalau lihat kandungan surat itu akan setuju tandatangan kerana ia demi rakyat. Sukar untuk kami berkhidmat jika tiada peruntukan atau projek untuk rakyat seperti sekolah, hospital, jalan raya dan sebagainya tidak diteruskan.

“Saya hendak tegaskan surat itu tiada kaitan dengan lompat parti atau sokong calon pengganti Dr Mahathir. Tidak ada cerita hendak masuk Bersatu pun.

“Tetapi kalau ada rundingan lain di kalangan beberapa ahli Parlimen untuk jatuhkan Zahid, saya tidak pasti,” kata ahli Parlimen Umno yang enggan dikenali.

Dokumen itu juga hanya surat sokongan dan bukannya akuan bersumpah seperti yang ditanggapi sesetengah pihak, kata mereka.

“Itu cuma satu surat biasa yang diminta untuk kita beri kuasa kepada (ahli Parlimen Sembrong) Hishammuddin Hussien berunding perkara ini. Bukan SD seperti yang dinyatakan,” kata seorang lagi ahli Parlimen Umno.

Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin yang keluar Umno baru-baru ini mendedahkan seramai 36 ahli parlimen Barisan Nasional (BN) sudah menandatangani surat akuan sebagai tanda sokongan kepada Dr Mahathir.

Selain 33 ahli Parlimen Umno, mereka yang menandatangani surat itu termasuk dua ahli Parlimen dari MIC dan seorang dari Parti Rakyat Bersatu Sabah.

Dalam pendedahan yang sama selepas bertindak keluar parti baru-baru ini, Hamzah turut memberi amaran kepada Zahid akan ada 10 lagi ahli Parlimen Umno keluar parti jika beliau enggan melepaskan jawatan presiden Umno.

Zahid bagaimanapun menyerahkan tugas-tugas presiden Umno kepada timbalannya, Mohamad Hasan minggu lalu di tengah-tengah desakan dalam partinya mahu beliau meletakkan jawatan.

Zahid menyerahkan tugas kepada timbalannya atas alasan mahu menyelamatkan parti dan dan berharap tiada lagi wakil rakyat Umno keluar parti.

Seorang lagi ahli parlimen turut menyatakan rasa kecewa apabila tindakan mereka menandatangani surat tersebut dikaitkan dengan desakan untuk meminta Zahid berundur.

“Bila kata ada 10 ahli parlimen lagi hendak lompat, saya pun terkejut kerana surat itu tiada kaitan pun dengan desakan untuk Zahid berundur.

“Janganlah gunakan surat itu untuk buat gerakan lain. Saya dan ramai ahli parlimen Umno lain tidak terlibat. Tidak bolehlah kata mereka mewakili ahli Parlimen lain. Jangan kait-kaitkan kami,” katanya.– 25 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen