36 ahli parlimen BN setia bersama Dr M, kata Ahli Parlimen Larut


TIGA puluh enam ahli parlimen Barisan Nasional (BN) menandatangani ikrar setia kepada kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kata Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainuddin yang hari ini mengumumkan keluar daripada Umno.

Pernah menjadi penyokong bekas perdana menteri Najib Razak, bekas menteri itu berkata penggubal undang-undang BN mahu memastikan Dr Mahathir kekal melaksanakan tugas-tugasnya.

“Terdapat 33 dari Umno, satu daripada Parti Bersatu Rakyat Sabah dan dua daripada MIC yang menandatangani ikrar menyokong Perdana Menteri. Ia tidak diputuskan dalam masa satu atau dua hari lalu, ia diputuskan sebulan lalu,” katanya dalam temu bual bersama akhbar New Straits Times Press (NSTP).

“Kumpulan ini ikhlas mahu memastikan bahawa kerajaan stabil dan memastikan tiada siapa yang boleh menggunakan Parlimen bagi mengusir PM kerana kami ada dengar desas-desus itu.

“Sekiranya keadaan politik tidak stabil, ia akan timbulkan masalah kepada rakyat, sebab itu kita mahu kestabilan dan kita sokong PM untuk pimpin, ini semua demi kepentingan negara dan rakyat,” katanya seperti yang dipetik Berita Harian.

Ditanya adakah presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengetahui perkembangan ini, Hamzah menjawab bahawa “bos” tidak menyedarinya.

Hamzah berkata beliau dan rakan-rakan berpakat untuk merahsiakan hal ini kepada Zahid.

Umno kini kehilangan 16 Ahli Parlimen dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri sejak pilihan raya 9 Mei lalu.

Empat bekas Ahli Parlimen Umno dan beberapa pemimpin utama parti telah menyertai Bersatu sejak pilihan raya itu. Ramai lagi pimpinan daripada Umno dijangka menyertai Bersatu dalam beberapa minggu dan bulan yang akan datang. – 14 Disember, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen