Bagi Bersatu Melaka, Rahim Thamby Chik tokoh penting


SM Amin

SUMBER parti memberitahu Rahim Thamby Chik, bekas ketua menteri Melaka antara 1982 dan 1994 itu ada idea-idea membangunkan ekonomi serta pengaruh untuk membawa masuk sekurang-kurangnya tiga wakil rakyat Umno negeri menyertai Pakatan Harapan (PH).

Namun kemungkinan Rahim masuk Bersatu menimbulkan kemarahan PKR dan DAP, serta dicemuh banyak orang. Rahim dulu dituduh dengan jenayah rogol budak bawah umur tetapi kemudian digugurkan kerana tidak cukup bukti.

Skandal itu menghumban Setiausaha Agung DAP ketika itu Lim Guan Eng masuk penjara.

Beliau juga seorang antara tiga “Datuk T” yang mendedahkan video seks pada Mac 2011 yang didakwa melibatkan Anwar Ibrahim. Mereka kemudian didenda kerana menayangkan video itu di khalayak ramai.

Biarpun demikian, Bersatu Melaka dan Rahim berjumpa tiga kali dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini untuk mengukuhkan kedudukan parti itu dan melemahkan Umno di DUN Melaka.

Bersatu kini mempunyai dua wakil dalam DUN Melaka, sama seperti Amanah sementara PKR tiga, manakala DAP lapan dan Umno 13 kerusi.

Pengerusi Amanah Melaka Adly Zahari adalah ketua menteri Melaka.

“Kita rasa beliau (Rahim) ada pengalaman untuk bantu membangunkan negeri,” kata sumber Bersatu kepada The Malaysian Insight.

“Beliau boleh beri nasihat untuk membangunkan keusahawanan sesuai dengan pengalaman dan kedudukannya dalam Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem),” tambahnya.

Rahim semalam menyerahkan permohonan masuk Bersatu dalam satu majlis di Ayer Keroh, Melaka. Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata permohonan itu akan dipertimbang tetapi Rahim tidak harus ditanggapi dengan sejarah politik lampaunya.

Sumber juga memberitahu Rahim buka mulut untuk menyertai Bersatu, parti yang diterajui bekas ketuanya dalam Umno, Dr Mahathir Mohamad.

“Beliau menyatakan hasrat untuk masuk Bersatu dalam pertemuan yang pertama dan kita sampaikan kepada pucuk pimpinan parti,” kata sumber.

Bersatu didirikan oleh bekas pemimpin Umno yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan presiden parti pada masa itu, Najib Razak. Namun Rahim bersama Umno sehinggalah selepas pilihan raya umum 9 Mei yang menyingkirkan Umno.

Sumber Bersatu membayangkan penyertaan Rahim ke dalam parti itu tidak serumit yang ditanggapi oleh banyak orang.

“Rahim kata beliau sudah okay dengan Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu,” kata sumber yang maklum mengenai perbincangan itu

Lim dan Mohamad tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan dakwaan itu. Lim dipenjara 18 bulan mengikut Akta Hasutan 1984 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana mendedahkan maklumat mengenai dakwaan skandal seks Rahim.

The Malaysian Insight difahamkan Rahim juga sedang berusaha untuk mendapatkan temujanji berjumpa Anwar melalui seorang timbalan menteri dari PKR.

Selain Rahim, bekas ketua menteri Melaka Adib Adam juga sudah menyertai Bersatu pada 16 September lepas manakala Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin diterima sebagai ahli Bersatu minggu lalu.

Rahim juga berkata mahu memujuk dua lagi bekas ketua menteri, Mohd Ali Rustam dan Idris Haron ikut sama masuk Bersatu.

AJK Bersatu Bukit Katil, Mohd Ruddin Abdul Ghani menyifatkan permohonan Rahim masuk Bersatu bukan suatu isu kerana skandal yang dikatakan terhadap Rahim sebelum ini hanyalah persepsi moral.

“Semua orang buat silap tetapi dari segi undang-undang, Rahim tidak pernah disabitkan di mahkamah. Tidak ada yang menyatakan dia bersalah, dihukum, dipenjara dan sebagainya,” kata bekas ahli Parlimen Bukit Katil itu. – 17 Disember, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen