Umno rosak dek rasuah, Rahim Thamby Chik masuk Bersatu


BEKAS Ketua Menteri Melaka Rahim Thamby Chik hari ini mengumumkan memohon menyertai Bersatu kerana Umno sudah hilang roh perjuangan Melayu akibat rasuah, lapor Bernama.

Dalam ucapan selepas menyerahkan borang keahliannya, Rahim berkata Bersatulah sekarang parti terbaik untuk menjuarai perjuangan Melayu kerana roh Umno itu sudah berpindah ke dalam Bersatu.

“Saya keluar kerana Bersatu kini boleh membela orang Melayu dengan lebih baik, cekap dan berkesan yang mana Umno kini sudah tiada kapasiti untuk bergerak demi perjuangan orang Melayu,” katanya seperti dipetik agensi berita itu.

Beliau mengaku sedih meninggalkan Umno setelah lebih 40 tahun berjuang dalam parti itu untuk orang Melayu.

“Kesilapan pemimpin Umno menabur budaya rasuah menjadi kanser yang memakan akar umbi Umno itu hingga semakin sukar diperbetulkan dan pada pilihan raya umum lepas Umno kecundang,” katanya pada majlis yang berlangsung di Ayer Keroh, Melaka.

Menurut Rahim, tindakan keluar Umno itu secara sukarela dan bukan didesak atau menerima apa-apa tawaran daripada mana-mana pihak.

Rahim sebelum itu menyerahkan borang keanggotaannya bersama kira-kira 100 permohonan lain kepada Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Mohd Redzuan Md Yusof yang juga Menteri Pembangunan Usahawan.

Permohonan Rahim masuk Bersatu menyusul 11 lagi ahli Parlimen Umno keluar parti dan tindakan sama pemimpin akar umbi di Sabah sehingga melumpuhkan parti di negeri itu. Pada masa sama, ada dakwaan kemungkinan lebih ramai lagi ahli Parlimen Umno akan keluar parti tidak lama lagi.

Bekas Ketua Menteri Melaka Rahim Thamby Chik (kanan) menyerahkan borang keahlian menyerahkan borang keanggotaannya kepada Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Mohd Redzuan Md Yusof. – Gambar The Malaysian Insight, 16 Disember, 2018.

Rahim merupakan ketua menteri Melaka keenam yang memegang jawatan itu antara 26 April 1982 hingga 14 Oktober 1994 dan pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO untuk penggal 1993-1996.

Rahim adalah ketua menteri Melaka yang kedua menyertai Bersatu, selepas Adib Adam pada September lalu.

Rahim menjadi ketua menteri antara 1982 hingga 1994.

Kedudukannya sebagai ketua menteri berakhir dengan kontroversi selepas dituduh merogol kanak-kanak bawah umur, suatu jenayah statutori, yang kemudiannya ditarik balik oleh pendakwa raya.

Selepas disabitkan tuduhan itu, Rahim terpaksa melepaskan jawatan ketua menteri dan ketua Pemuda Umno.

Pada Jun lalu, mengulas episod tahun 1994 itu, Rahim mendakwa beliau adalah mangsa sabotaj dan pengkhianatan dalam konspirasi politik menjatuhkan perdana menteri pada masa itu, Dr Mahathir Mohamad.

Rentetan tuduhan kes rogol itu juga menghumban Lim Guan Eng, ketika itu Ahli Parlimen Kota Melaka, ke penjara selama 18 bulan selepas sabit tuduhan di bawah Akta Hasutan serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan atas kenyataan yang beliau buat mengenai Rahim.

Semasa dalam Umno, Rahim adalah sebahagian daripada anggota Team Wawasan, menyokong Anwar Ibrahim yang mencabar kedudukan Ghafar Baba sebagai timbalan presiden Umno semasa pemilihan parti pada 1993.

Namun, hubungan mereka tegang apabila Anwar selepas dipecat daripada kerajaan dan parti pada 1998, membuat laporan polis mengenai salah laku rasuah pemimpin-pemimpin Umno, termasuk Rahim.

Anwar pada masa itu mendakwa mempunyai laporan mengenai Rahim yang disediakan oleh agensi anti rasuah, yang tidak diambil tindakan oleh Peguam Negara.

Pada 2011, Rahim bersama dua individu dinamakan sebagai “Datuk T” mendedahkan rakaman video hubungan seks seorang individu yang dikatakan mirip Anwar.

Ketiga-tiga mereka dihadapkan ke mahkamah dan mengaku salah atas tuduhan menayangkan rakaman video itu, dan dihukum denda. – 16 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen