Jangan hanya lihat sejarah lepas Rahim Thamby Chik, kata Muhyiddin


SM Amin

Bekas Ketua Menteri Melaka Rahim Thamby Chik (kanan) menyerahkan borang keahlian menyerahkan borang keanggotaannya kepada Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Mohd Redzuan Md Yusof. – Gambar The Malaysian Insight, 16 Disember, 2018.

PERMOHONAN bekas Ketua Menteri Melaka Abdul Rahim Thamby Chik menyertai Bersatu mesti dilihat dalam konteks semasa dan bukan sejarah lampau politik beliau, kata Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu itu berkata, menempatkan Rahim Thamby Chik dan pemimpin Umno lain, yang keluar parti itu dengan apa yang berlaku sebelum ini bukanlah satu strategi yang betul dalam politik semasa.

“Ini perkembangan politik terkini. Jadi kita melihat situasi baru ini dalam perspektif yang baru.

“Kita tidak boleh ambil kira yang lepas sahaja. Tetapi keadaan yang baru ini kalau kita tidak ambil kira, bermakna kita tidak menyusun strategi yang betul,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Bersatu Melaka di Alor Gajah hari ini.

Menurut Muhyiddin, Bersatu masih belum memutuskan sama untuk menerima atau tidak penyertaan Rahim ke dalam parti itu kerana perlu melalui proses saringan seperti pemimpin Umno lain.

“Rahim perlu melalui proses yang sama (seperti pemimpin dan ahli Parlimen Umno), kita teliti dahulu. Tidak terima atau tolak begitu sahaja. 

“Dengar ada nama-nama lain,” katanya membayangkan akan ada lagi yang akan bersama Rahim memohon menyertai Bersatu.

Rahim merupakan ketua menteri Melaka keenam yang memegang jawatan itu antara 26 April 1982 hingga 14 Okt 1994 dan pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO untuk penggal 1993-1996.

Kedudukannya sebagai ketua menteri berakhir dengan kontroversi selepas dituduh merogol kanak-kanak bawah umur, suatu jenayah statutori, yang kemudiannya ditarik balik oleh pendakwa raya.

Selepas disabitkan tuduhan itu, Rahim terpaksa melepaskan jawatan ketua menteri dan ketua Pemuda Umno. – 16 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kalau ikut logik bodoh ini, apa kata Bersatu minta Najib join jugak?

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Chee Hoe Foo · Ulasan