Malaysia tak akan berperang dengan Singapura, kata PM


Negara berjiran memang akan ada pertikaian, dan ia akan diselesaikan menerusi rundingan atau mahkamah, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Disember, 2018.

MALAYSIA akan mencari penyelesaian pertikaian sempadan perairan menerusi perbincangan atau mahkamah, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menafikan khabar isu itu akan diselesaikan dengan peperangan.

Dr Mahathir berkata negara berjiran memang akan selalu terjebak dalam pertikaian sempadan.

“Perkara ini memang berlaku antara jiran, apabila tuntutan dibuat,” katanya pada wawancara langsung di RTM malam ini.

“Bagi kita, bukannya kita hendak berperang atau apa-apa. Tetapi kita perlu akui ada masalah antara kita (dua negara) dan masalah itu boleh diselesaikan dengan cara yang baik.

“Iaitu kita boleh selesaikannya dengan rundingan. Jika kita tak boleh selesaikan menerusi rundingan atau timbang tara, kita boleh pergi ke mahkamah.”

“Itu cara kita. Kita harap jika kita berpegang kepada kebenaran dan kedaulatan undang-undang, kita yakin akan menang.”

Terdahulu, Dr Mahathir hari ini juga berkata kapal Malaysia akan terus kekal berada dalam kawasan pertikaian ketika rundingan dengan Singapura berjalan.

Susulan itu, Singapura dalam kenyataan berkata Malaysia perlu bertanggungjawab sekiranya berlaku kejadian tidak diingini kerana keengganan Malaysia menarik balik kapalnya. – 10 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen