KAPAL Malaysia tidak akan ditarik balik daripada kawasan perairan yang jadi pertikaian walaupun perbincangan dengan Singapura sedang berlangsung, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Tambahnya, kapal Malaysia akan terus berada di kawasan berkenaan sehingga penyelesaian dicapai dalam pertikaian sempadan perairan yang hangat berlaku kini.
“Pada masa ini, disebabkan tidak ada keputusan maka kapal-kapal terbabit berada di situ, kapal Singapura berada di situ, kapal Malaysia juga berada di situ,” katanya dipetik Bernama.
Pada Khamis, Singapura berkata walaupun mereka bersedia berbincang dengan Malaysia mengenai pertikaian sempadan itu, republik itu mahukan kapal Malaysia meninggalkan kawasan yang jadi rebutan itu.
Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wah berkata agensi keselamatan negara itu akan terus berkawal di kawasan itu dan memberikan tindak balas kepada aktiviti yang tidak dibenarkan.
“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pencerobohan dan aktiviti yang tidak dibenarkan di perairan kami demi melindungi wilayah dan kedaulatan kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Pertikaian bermula apabila Malaysia meluaskan sempadan pelabuhannya di selatan Semenanjung, yang dakwa Singapura menceroboh kawasan perairarannya di Tuas.
Singapura sudah membuat bantahan diplomatik, mendakwa peluasan itu dilakukan tanpa perbincangan, Malaysia pula bertegas yang sempadan baharu itu masih berada dalam kawasan perairannya.
Singapura mendakwa antara 24 Novermber hingga 5 Disember, kapal milik Malaysia melakukan 14 pencerobohan di kawasan itu.
Singapura juga meluaskan had pelabuhannya.
Sementara itu, Menteri Luar Saifuddin Abdullah memberi jaminan yang Malaysia akan berunding dengan Singapura mengenai pertikaian sempadan lautnya.
Katanya, kedua-dua negara bersetuju yang wujud keperluan untuk rundingan dan mahu mengekalkan hubungan baik antara dua negara.
Dr Mahathir juga menekankan yang hubungan dua negara masih baik.
“Kita akan runding dengan Singapura, kita tidak mahu lawan dengan Singapura… kadang-kadang ada pertindihan (tuntutan) tapi kita boleh selesaikan perkara ini melalui rundingan,” katanya.
Malaysia juga terlibat dalam pertikaian ruang udara dengan Singapura, berkaitan keputusan negara itu melaksanakan Sistem Instrumen Pendaratan (ILS) dan Prosedur Pendekatan ILS di Lapangan Terbang Seletar.
Malaysia juga mahu menuntut semula ruang udaranya secara berperingkat yang diuruskan Singapura sejak 1974. – 10 Disember, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Ebrahim Mohideen · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Ebrahim Mohideen · Ulasan