Singapura beri amaran pada Malaysia


SINGAPURA hari ini menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan dengan Malaysia mengenai pertikaian sempadan maritim namun mahu kapal kerajaan Malaysia menghentikan pencerobohan dan kembali ke status quo sebelum 25 Oktober 2018.

Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan berkata negaranya bersetuju dengan cadangan Malaysia bahawa pegawai daripada kedua-dua belah pihak perlu bertemu untuk mencapai resolusi yang baik, dan akan membuat tindakan susulan.

Beliau juga mengesahkan menerima nota protes Malaysia semalam, yang tidak bersetuju bahawa Had Pelabuhan Johor yang diubah dikatakan menceroboh perairan wilayah Singapura di Tuas, dan menekankan bahawa kapal-kapal kerajaan Malaysia sedang mengawal perairan wilayah Malaysia.

Beliau menambah bahawa Singapura berpandangan pertikaian sempadan di Had Pelabuhan Johor hanya boleh diselesaikan mengikut undang-undang dan amalan antarabangsa, melalui perundingan antara kerajaan yang terlibat.

“Agensi keselamatan kami akan terus mengawal kawasan itu, dan bertindak balas terhadap aktiviti yang tidak dibenarkan di lapangan. Mereka setakat ini hanya bertindak balas terhadap tindakan agresif oleh kapal kerajaan Malaysia.

“Tetapi Singapura tidak boleh membenarkan kedaulatan kami dilanggar, atau fakta-fakta baru di atas lapangan yang akan dicipta. Oleh itu, jika perlu, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pencerobohan dan aktiviti yang tidak dibenarkan di perairan kami demi melindungi wilayah dan kedaulatan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Menyasarkan Malaysia, beliau berkata bahawa negara-negara sememangnya akan meminda had pelabuhan mereka dari semasa ke semasa, tetapi mereka mesti berbuat demikian dengan cara yang tidak melanggar undang-undang antarabangsa, atau melanggar kedaulatan negara lain.

Beliau berkata bahawa pelanggaran kedaulatan Singapura adalah isu baru yang serius dalam hubungan dua hala dengan Malaysia.

“Singapura mahu jalinan hubungan mesra dan kerjasama erat dengan Malaysia.

“Perdana Menteri (PM) Dr Mahathir baru sahaja melawat Singapura pada bulan November, dan mengadakan perbincangan yang membuahkan hasil dengan PM Lee. PM Lee memanjangkan isu tersebut dengan Dr. Mahathir, sebagai satu perkara yang boleh menjejaskan hubungan dua hala kita.

“Malangnya, perkembangan selanjutnya sejak pertemuan itu telah menjadikan keadaan ini lebih serius.”

Beliau menambah bahawa sikap Singapura terhadap Malaysia sentiasa jelas dan konsisten, dengan tetap menegakkan undang-undang antarabangsa dan menghormati perjanjian dua hala, demi melindungi dan mempertahankan kedaulatan wilayah Singapura.

“Singapura tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pencerobohan dan kegiatan yang tidak dibenarkan di perairan kami.” – 6 Disember, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen