Malaysia, Singapura akan runding pertikaian sempadan maritim


Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata Wisma Putra sudah berhubung dengan Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur bagi mengadakan rundingan isu pertikaian sempadan maritim antara dua negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Disember, 2018.

MENTERI Luar Saifuddin Abdullah memberi jaminan rundingan dengan Singapura berhubung pertikaian sempadan maritim yang sedang berlaku akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau berkata kedua-dua negara bersetuju tentang keperluan mengadakan rundingan itu dan mahu mengekalkan hubungan baik dua hala.

“Kami akan melakukan tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan pertikaian itu tanpa menjejaskan kedaulatan negara,” katanya dipetik daripada The Star.

Lokasi pertemuan masih belum diputuskan tetapi Saifuddin berkata Wisma Putra sudah berhubung dengan Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur.

Saifuddin berkata Jumaat lalu Malaysia ada menghantar draf agenda mesyuarat dan berharap rundingan akan diadakan pada pertengahan bulan ini.

Pertikaian itu bermula apabila Malaysia meluaskan had sempadan di pelabuhannya di selatan, di mana Singapura mendakwa ia menceroboh perairannya di Tuas.

Singapura membuat bantahan diplomatik, mendakwa peluasan itu dibuat secara sebelah pihak, sementara Malaysia berkata garisan baharu itu dalam kawasan perairannya.

Singapura berkata antara 24 November dan 5 Disember, kapal kerajaan Malaysia melakukan 14 pencerobohan ke kawasan itu.

Khamis lalu, Singapura melanjutkan had pelabuhannya dan sekali lagi mendesak kapal Malaysia keluar dari kawasan perairan republik itu.

Menteri Singapura juga memberi amaran kepada Malaysia menerusi Facebook supaya tidak melakukan pencerobohan dan mengambil sikap bertenang serta rundingan.

Menteri Kewangan Singapura Heng Swee Keat berkata negaranya akan mempertahankan kawasannya dan kedaulatan tetapi juga mahu meneruskan hubungan rapat dengan Malaysia.

“Malaysia jiran terdekat kami. Kita ada hubungan rapat antara rakyat. Singapura minta kerjasama Malaysia.

“Saya berharap Singapura dan Malaysia akan membincangkan isu ini secara aman dan membina, dalam mematuhi undang-undang antarabangsa. Ia akan memanfaatkan rakyat kedua-dua negara.”

Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura Masagos Zulkifli menggesa supaya isu itu diselesaikan secara baik dalam aman dan diplomatik.

Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Chan Chun Sing minggu lalu berkata republik itu bersedia mencari jalan keluar menerusi pihak ketiga antarabangsa dalam menyelesaikan pertikaian itu, jika rundingan bilateral gagal.

di Malaysia, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu lalu memberi isyarat bahawa Putrajaya sedia untuk berunding. – 10 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen