SINGAPURA memberi amaran Malaysia perlu bertanggungjawab terhadap sebarang kejadian yang tidak diingini jika enggan menarik semula kapal dari kawasan pertikaian perairan kedua-dua negara.
Republik itu juga menyifatkan kedegilan Putrajaya untuk membenarkan kapal Malaysia di kawasan pertikaian itu hanya meningkatkan ketegangan antara kedua-dua pihak.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri hari ini, kerajaan Singapura menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan Malaysia untuk tidak menarik balik kapalnya ketika rundingan berhubung isu pertikaian sempadan perairan masih berjalan.
“Singapura mengulangi gesaan kepada Malaysia untuk menarik semula status quo kekal sebelum 25 October 2018. Ini bagi mengelakkan salah faham dan sebarang isu berpotensi di lokasi tersebut,” kata kenyataan itu.
“Kehadiran (kapal) Malaysia di kawasan itu tidak akan mengukuhkan tuntutan rasmi mereka dan hanya meningkatkan ketegangan.
“Malaysia perlu bertanggungjawab terhadap sebarang kejadian tidak diingini di lokasi susulan kehadiran secara berterusan kapalnya di kawasan ini.”
Kenyataan menyebut yang Menteri Dalam Negeri Singapura K Shanmugan dan Peguam Negara Lucien Wong sudah bertemu Peguam Negara Tommy Thomas Jumaat lalu untuk membincangkan pertikaian perairan.
Ketika pertemuan itu, pegawai Singapura mencadangkan yang Putrajaya kembali kepada status quo sebelum 25 Oktober, dan kedua-dua negara akan menarik balik penghantaran kapal ke kawasan jadi pertikaian.
“Tuntutan sempadan perairan boleh dibuat di bawah undang-undang antarabangsa, selaras dengan prosedur sedia ada, tanpa perlu kapal (kedua-dua negara) berdepan antara satu sama lain.”
Ia turut menambah yang kerajaan Singapura, bagaimanapun “menggalakkan Malaysia mengambil semua tindakan diperlukan untuk meredakan situasi semasa dan menangani situasi dengan tenang dan aman”.
Kenyataan turut menyebut yang Putrajaya turut bersetuju supaya kedua-dua pihak bertemu pada minggu kedua bulan depan, untuk bertukar pandangan mengenai isu tersebut. – 10 Disember, 2018.
Komen