Tiga saksi beri banyak maklumat berhubung 1MDB kepada PAC


Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Woh menyatakan saksi-saksi yang dipanggil PAC memberi banyak maklumat namun tidak dapat didedahkan pada waktu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2018.

JAWATANKUASA Kira-kira Wang Negara (PAC)  memperoleh banyak maklumat berguna daripada saksi yang dipanggil membantu siasatan berhubung dakwaan Laporan Audit 1MDB diubah sepanjang tiga hari prosiding berlangsung bermula Selasa lalu.

Timbalan Pengerusinya Wong Kah Woh berkata bagaimanapun, butiran terperinci didedahkan saksi-saksi tidak dapat dimaklumkan memandangkan jawatankuasa itu terikat dengan peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Menurut beliau, prosiding siasatan akan disambung semula Januari tahun depan.

Selain bekas pengarah Sektor Audit Kerajaan, Saadatul Nafisah yang dipanggil hari ini, dua lagi saksi iaitu Ketua Audit Negara Dr Madinah Mohamad dipanggil semalam dan bekas Ketua Audit Negara Ambrin Buang, dipanggil pada hari pertama prosiding diadakan.

“Sememangnya kita tanya berkenaan situasi bagaimana pindaan ke atas audit report dijalankan dan kesemua circumstances surrounding senario pada masa itu, kerana bagi kami untuk kami capai satu kesimpulan pada akhir prosiding ini kita nak ambil kira kesemua senario dan “circumstances” yang terlibat.

“Mereka telah menyatakan pandangan dan memberi keterangan kepada PAC. Setakat ini kami mempunyai keterangan amat baik daripada kesemua pihak,” katanya kepada pemberita selepas selesai prosiding hari ini.

Pada 25 November lalu, Madinah dilapor mendedahkan bahawa beberapa bahagian dalam laporan audit 1MDB itu telah “dikeluarkan” atas arahan bekas perdana menteri yang juga bekas Menteri Kewangan Najib Tun Razak.

Wong berkata untuk prosiding seterusnya, PAC akan berbincang dan memaklumkan tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

“Kami akan teruskan prosiding.. prosiding masih belum selesai seperti dinyatakan Pengerusi PAC Ronald Kiandee sebelum ini, PAC secara tetapnya akan memanggil bekas Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa, dan juga bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy dan pihak-pihak terlibat,” katanya. – Bernama, 6 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen