Umno, PAS tidak hormat raja-raja Melayu, kata pemimpin Amanah


Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad bertanya apa lagi motif perhimpunan di Dataran Merdeka itu setelah beberapa mufti yang dilantik Sultan menegur penganjuran rapat umum itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2018.

UMNO dan PAS tidak menghormati institusi raja-raja Melayu apabila bertegas mahu meneruskan perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 8 Disember ini, kata pemimpin Amanah.

Pengerusi Amanah Terengganu, Raja Bahrin Shah bertanya apa lagi motif perhimpunan di Dataran Merdeka itu setelah beberapa mufti yang dilantik Sultan menegur penganjuran rapat umum itu, selepas kerajaan membatalkan cadangan meratifikasinya.

Malah, Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah pun sudah mengingatkan rakyat dan pemimpin supaya mempertahankan perpaduan dalam rakyat berbilang kaum, tambah beliau, yang juga Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

“ICERD ditolak kononnya untuk memelihara kedaulatan raja-raja dan memelihara kedudukan agama Islam.

“Namun, tindakan menolak pandangan titah Sultan Nazrin Shah dan saranan Mufti Kelantan oleh PAS dan Umno menunjukkan tindakan  sebaliknya,” kata Raja Bahrin dalam satu kenyataan media hari ini.

“Adakah ini sembah derhaka titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan sengaja engkar nasihat Mufti dilantik Sultan?” tambahnya.

Raja Bahrin yang juga senator di Dewan Negara turut bertanya, apakah perhimpunan itu sebenarnya untuk kepentingan dan survival bersama politik PAS dan Umno.

Selain Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad, beberapa mufti negeri lain antaranya Perak, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang juga senada, perhimpunan 8 Disember ini tidak wajar diteruskan kerana isu sudah selesai.

Pada 23 November lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD, sebaliknya komited mempertahankan kontrak sosial yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sultan Nazrin dalam titahnya semalam mengingatkan pemimpin supaya jangan jadi dalang yang menyalakan puntung kebencian serta mencetuskan api permusuhan antara rakyat berbilang kaum dan agama.

Semalam juga, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata perhimpunan bantah ICERD itu diteruskan kerana ada kemungkinan ia diluluskan oleh Parlimen yang kini dikuasai wakil rakyat bukan Melayu dan bukan Islam.

Bagaimanapun tidak semua pertubuhan Melayu Islam setuju supaya perhimpunan 8 Disember ini diteruskan.

Isu ratifikasi ICERD berbangkit ketika Umno yang hilang kuasa selepas kalah pilihan raya umum Mei lalu tenggelam punca dan tiada hala tuju. Pemimpin akar umbi Umno percaya isu ICERD memberi nafas baru kepada parti Melayu itu. – 2 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen