PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang bimbang ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) akan tetap diluluskan memandangkan bilangan ahli Parlimen bukan Islam melebihi ahli Parlimen Islam.
Disebabkan itu, pembangkang akan meneruskan himpunan kejayaan bantahan ICERD yang dijadualkan berlangsung pada 8 Disember ini di ibu negara, kata ahli Parlimen Marang itu.
“Dalam kerajaan Pakatan Harapan, 66 kerusi Parlimen dipegang orang bukan Islam dan hanya 58 milik orang Islam. Entah di mana silapnya jadi begini.
“Namun, jangan salah gunakan bilangan ini untuk luluskan ICERD dan sebab itu juga kita akan teruskan himpunan kejayaan membantah ICERD. Kita bukan nak buat huru-hara, tapi nak tunjuk protes,” kata Hadi seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian hari ini.
Hadi berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Ijtimak Kepimpinan PAS Terengganu 2018 di Kemaman, semalam.
Ahli Parlimen parti komponen PH dari Amanah juga katanya tidak boleh menjadi sandaran untuk orang Islam kerana mereka merupakan anak didik DAP.
Beberapa pertubuhan Melayu Islam sebelum ini mempertahankan perhimpunan 8 Disember ini perlu diteruskan, ketika mufti beberapa negeri menggesa ia dibatalkan.
Pada 26 Oktober lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy dilaporkan berkata Putrajaya komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia, termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.
Ia susulan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) di New York pada akhir September, yang berkata kerajaan baharu Malaysia akan mengiktiraf semua baki instrumen badan dunia itu berkaitan perlindungan hak asasi manusia.
Akibat bantahan banyak pihak, Putrajaya kemudiannya membatalkan hasrat meratifikasi ICERD.
Dr Mahathir berkata, keputusan itu dibuat kerana ia melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan parti pemerintah tidak mempunyai majoriti dua pertiga kerusi Parlimen.
Malah, terdapat ahli Parlimen kerajaan katanya yang tidak bersetuju untuk meratifikasi ICERD.
Beberapa pertubuhan Melayu Islam sebelum ini mempertahankan perhimpunan 8 Disember ini perlu diteruskan, ketika mufti beberapa negeri menggesa ia dibatalkan.
Malaysia merupakan salah satu daripada 14 negara yang masih belum mengesahkan perjanjian berkenaan. – 2 Disember, 2018.
Komen