Hanya tafsiran Islam Jakim diterima di Malaysia, kata ahli akademik


Bede Hong

Di Malaysia hanya ada satu versi Islam dan itu ialah yang diluluskan Jakim kata Ahmad Farouk Musa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Ogos, 2017.

TIDAK banyak toleransi untuk tafsiran Islam yang berbeza berbanding yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kata ahli akademik.

“Di Malaysia hanya ada satu versi Islam dan itu ialah yang diluluskan Jakim,” kata Ahmad Farouk Musa di sebuah forum anjuran Islamic Rennaissance Front (IRF) hari ini.

Malaysia secara rasminya hanya mengiktiraf tafsiran Islam berasaskan Ahli Sunnah Waljamaah dan Mazhab Shafie.

Menurut Pew Research Centre, 90% daripada 1.6 bilion penganut Islam mengikut tafsiran Ahli Sunnah Waljamaah.

Farouk berkata negara mempunyai sejarah panjang diskriminasi kepada tafsiran Syiah Islam yang dianggap pihak berkuasa melencong daripada ajaran Islam sebenar.

“Apabila kita mencerca ajaran yang wujud ribuan tahun seperti Syiah, itu adalah masalah sebenar,” katanya lagi.

“Kita perlu menerima kepelbagaian bukan hanya pada agama lain tetapi juga dalam agama kita sendiri. Kita menekan kumpulan kecil ini. Persoalan hak asasi wujud dalam kalangan kita,” katanya.

Farouk juga bercakap tentang diskriminasi kepada Wahabi, sebuah gerakan yang diharamkan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2015.

“Saya percaya kini kita sedang menuju ke arah extrimis apabila negara akan mengenakan tafsiran agamanya sahaja,” tambahnya.

Sementara itu, Ahmad El-Muhammady dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata isu Islam masih tidak dapat diselesaikan kerana kurangnya komunikasi.

Saya tak sukakan perkataan toleransi, lebih baik guna perkataan kasih. Kita kasih sesama manusia, kata Maszlee Malik.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Ogos, 2017.

“Diplomasi mengarah selalu gagal kerana anda tidak dapat gambaran sebenar kisah itu. Anda perlu berkomunikasi terus dengan Jakim.”

“Kita perlu berjumpa pemimpin (dari Jakim) kalau tidak kita akan bergaduh sampai ke sudah. Menjerit antara satu sama lain (melalui media) sangat tidak matang,” kata Ahmad.

Maszlee Malik juga dari UIAM berkata umat Islam tidak sepatutnya terperangkap dalam “jargon agama” tetapi berperang menentang kejahatan.

“Kita sepatutnya berbincang tentang bagaimana hendak mencegah kerajaan kleptokratik, atau bagaimana hendak membentuk sistem yang memberikan peluang saksama kepada rakyat.

“Tidak perlu terjebak dalam hujah tentang makna moderat atau apa yang ada dalam Wahabi.”

Maszlee berkata yang Islam memberikan keutamaan kepada tadbir urus negara yang baik.

“Kita perlu memenuhi masa depan rakyat dan memastikan ada peraturan dan undang-undang. Saya tak suka bercakap tentang semua jargon ini,” katanya.

“Toleransi sebenarnya perkataan yang jahat (maknanya). Saya lebih gemarkan perkataan kasih. Mari kasihkan satu sama lain.” – 19 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen