Langkawi kekal bebas cukai selagi BN memerintah, kata Najib


Kerajaan sedang berusaha menjadikan Langkawi sebagai “Monaco of the East” bagi mempromosi pelancongan mewah dan pelancongan untuk rakyat, kata Najib hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 Ogos, 2017.

STATUS Langkawi sebagai pulau bebas cukai akan tetap dikekalkan selagi kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) sekarang terus memerintah, kata Perdana Menteri Najib Razak hari ini.

Katanya status yang telah melonjak nama pulau ini sebagai destinasi pelancongan antarabangsa telah memberi banyak manfaat kepada rakyat dan negara serta menjadi asas untuk merencanakan pembangunan Langkawi pada masa depan.

“Saya memberi komitmen (bahawa) kita akan terus mempertahankan Langkawi sebagai pulau bebas cukai sampai bila bila… malah akan menambahkan lagi dengan projek-projek lain,” katanya semasa berucap pada program Pemimpin Bersama Rakyat dan Pelancaran Projek Perumahan PPR dan Jeti Nelayan Chenang.

Menurut Najib, kejayaan untuk membawa pembangunan di Langkawi selama ini bukanlah kerana usaha seorang individu atau pemimpin Umno sebelum ini sahaja tetapi dengan sokongan kuat daripada anggota parti yang dipimpinnya.

“Kita tidak boleh mengetepikan peranan institusi parti (dalam menjayakan rancangan pembangunan yang diilhamkan oleh seseorang pemimpin) dan dengan berpaksikan kepada keperibadian bukanlah jaminan perjuangan masa depan kita,” katanya.

Najib berkata dalam meneruskan pembangunan di Langkawi, kerajaan pimpinannya sedang berusaha menerapkan dua konsep pelancongan, iaitu menjadikan pulau ini sebagai “Monaco of the East” bagi mempromosi pelancongan mewah dan pelancongan untuk rakyat.

“Kita sudah meletakkan asasnya untuk membawa Langkawi ke fasa pembangunan seterusnya,” katanya.

Menurutnya pelaksanaan projek perumahan yang dilancarkannya hari ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kesulitan yang dihadapi oleh rakyat di pulau ini untuk memiliki kediaman sendiri.

Beliau berkata projek bernilai RM242 juta dan dijangka dapat disiapkan menjelang 2019 pada asalnya tidak tersenarai di dalam bajet tahunan namun diluluskan selepas mempertimbangkan rayuan daripada wakil-wakil rakyat BN di Langkawi.

“Ini bukan projek politik sebab projek ini sedang dalam pelaksanaan dan kontraktor pun sudah memulakan kerja mereka,” katanya berhubung projek berkenaan yang melibatkan pembinaan lima blok perumahan 11 tingkat itu.

Menyentuh jeti nelayan Kampung Chenang yang turut dirasmikannya, Najib berkata projek yang diluluskan beliau dalam lawatannya sebelum ini dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 400 orang nelayan di pulau ini.

Beliau juga berkata para nelayan di Langkawi turut menerima bantuan bulanan bernilai RM300 sebulan selain menjadi sebahagian daripada kalangan rakyat yang menikmati sumbangan di bawah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Sebagai pemimpin, (saya) kena dengar suara hati rakyat… ini mantera perjuangan kita,” katanya.

Beliau juga memberi jaminan untuk mempertimbangkan permintaan anggota Parlimen Langkawi Nawawi Ahmad, supaya hospital di pulau ini diperbesarkan lagi bagi menampung peningkatan penduduk dan pelancong di Langkawi.

“Kita kena tengok dulu. Mungkin kita akan dapat masukkan dalam manifesto (pilihan raya) nanti… (kita akan laksanakan) kalau menang (pilihan raya) di Langkawi nanti,” katanya. – Bernama, 19 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen