PM pertahan tindakan hati-hati polis tangani rusuhan di kuil


Mohd Farhan Darwis

Dr Mahathir Mohamad menegaskan pihak polis ada pertimbangan kenapa tidak mengambil tindakan kasar terhadap perusuh yang membuat kacau. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 27 November, 2018.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan tindakan hati-hati pihak polis dalam menangani rusuhan di kuil Hindu di Subang Jaya, Selangor sejak dua malam lalu.

Katanya, polis ada pertimbangan kenapa tidak mengambil tindakan kasar terhadap perusuh yang membuat kacau di Kuil Sri Maha Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya, awal pagi Isnin.

“Polis tak nak berkasar jadi dia kena berhati hati, tapi ini bukan Melayu menentang India. Ini masalah orang itu (perusuh) datang dari tempat lain, bukan penduduk tempatan.

“Mungkin ada orang jadi dalang di belakang,” kata Dr Mahathir, ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-12, di Hotel Marriott Putrajaya, malam tadi.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, kerajaan juga yakin insiden sama tidak akan berulang pada masa hadapan.

“Kita ada cara untuk larang perkara itu dari berlaku,” katanya lagi, tanpa menjelaskan langkah-langkah tersebut.

Dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri petang tadi, Dr Mahathir berkata insiden berkenaan adalah perbuatan jenayah yang tiada kaitan dengan isu perkauman.

Kekacauan selama dua malam berturut-turut itu juga tiada kena-mengena dengan dengan isu agama walaupun ia berkaitan dengan perpindahan kuil, kata Dr Mahathir.

Polis hari ini mendapat perintah tahanan reman ke atas 16 daripada 21 individu yang ditahan sepanjang dua hari ini bagi membantu siasatan. 

Mereka yang ditahan berumur antara 18 hingga 49 tahun, termasuk tiga kakitangan syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd.

Siasatan dijalankan bagi kes jenayah khianat dengan api, merusuh, khianat dan ceroboh jenayah.

Menurut perdana menteri, beliau mengikuti perkembangan kejadian sejak hari pertama semalam serta dimaklumkan oleh polis akan perkembangan siasatan.

“Amat jelas dari siasatan awal bahawa kejadian pertama yang berlaku mempunyai unsur jenayah. Begitu juga kejadian susulan yang melibatkan kerosakan harta benda serta kecederaan kepada anggota polis.,” katanya.

Sebelum ini, beberapa NGO mengulas mengenai tindakan polis dalam mengawasi  insiden rusuhan tersebut dengan mengatakan ia boleh ditangani dengan lebih baik.

Polis bagaimanapun, mengatakan pihak keselamatan perlu berhati-hati dalam melakukan apa-apa tindakan kerana ia melibatkan rumah ibadat.

Menurut Ketua Polis Negara Fuzi Harun polis mempunyai prosedur operasi standard (SOP) bagi mengendalikan kekecohan yang berlaku terutamanya di kawasan rumah ibadat.

“Ini kawasan ibadat, takkan kita nak gunakan water cannon, lojik ke? Kalau buat demikian kita akan lebih diserang dan kalau kita ‘serang’ kita akan disalahkan sedangkan bila kita beri bantuan pun disalahkan. 

“Kita buat kawalan kita tidak jangka ada kumpulan tertentu yang didalangi pihak tertentu bertindak awal. Kawalan kita berterusan dan kita tidak boleh sekat kalau orang nak lakukan ibadat (di kuil itu),” katanya dalam sidang media di Subang Jaya, hari ini. – 27 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen