Polis boleh menangani isu kuil dengan lebih baik, kata gabungan NGO


Anggota polis dilihat meerusi pecahan cermin kenderaan ketika berkawal di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 November, 2018.

POLIS perlu bertindak pantas dalam menangani rusuhan yang tercetus di luar sebuah kuil di Seafield, kata sebuah gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan aktivis hari ini.

Gabungan Pelan Bertindak untuk Malaysia (POAM) berkata tindakan pantas polis mampu mengekang kerosakan di bangunan One City pada awal pagi hari ini.

“Mereka (polis) sepatutnya mengetahui perkembangan isu ini, jadi mereka perlu lebih proaktif.”

“Kita faham polis mengendalikan banyak isu, tetapi pada masa yang sama, jika mereka berdepan masalah, mereka perlu memantau situasi dengan lebih baik,” kata Pengerusi POAM Zaid Kamarrudin.

Antara NGO dan kumpulan hak asasi dalam gabungan POAM adalah Yayasan Tamil Malaysia, Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Suaram, My Petaling Jaya dan Saudara Sosio.

POAM berkata keganasan di kuil Sri Maha Mariamman dan bangunan One City selama dua hari berturut-turut, membangkitkan kembali persoalan terhadap keperluan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Katanya langkah itu akan memberi peluang kepada pihak yang tidak berpuas hati mengemukakan aduan mereka kepada IPCMC dan mendapat siasatan yang adil.

POAM juga membacakan mesej yang disampaikan aktivis sosial Marina Mahathir dan aktivis hak asasi manusia Ambiga Sreenevasan.

Marina berkata pihak yang tidak bertanggungjawab tidak boleh dibenarkan menjatuhkan imej negara yang menikmati peralihan aman semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya berasa sedih bahawa harapan yang kita rasai pada 9 Mei musnah disebabkan segelintir pihak tidak bertanggungjawab. Kita mendapat penghormatan dunia bukan melalui api kebencian dan keganasan, tetapi kerana perasaan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Ambiga berhara semua pihak agar bertenang dan mencari penyelesaian secara baik.

“Amat sedih buat saya apabila melihat tempat ibadat yang sepatutnya menjadi lokasi keamanan dan perpaduan, menjadi tumpuan keganasan. 

“Ini mesti dihentikan dan saya meminta semua pihak bertenang dan menyelesaikan perkara ini,” katanya. – 27 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen