Rusuhan di kuil Seafield kes jenayah, kata PM


Dr Mahathir bertegas dan menyifatkan apa yang berlaku tidak berkaitan isu perkauman melainkan isu jenayah. – Gambar fail The Malaysian Insight file, 27 November, 2018

RUSUHAN di kuil Hindu di Subang Jaya, Selangor kelmarin serta kekacauan berikutnya awal hari ini adalah perbuatan jenayah yang tiada kaitan dengan isu perkauman, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, kekacauan dua malam itu juga tiada kena-mengena dengan dengan isu agama walaupun ia berkaitan dengan perpindahan kuil.

“Kerana ia berkaitan jenayah, pihak polis telah diarah untuk mengambil tindakan lanjut bagi menangani serta mengawal situasi ini dengan segera,” kata Dr Mahathir dalam satu kenyataan dikeluarkan pejabatnya di Putrajaya. 

Semua mereka yang terlibat dalam rusuhan, mencederakan anggota polis dan bomba serta merosakkan harta awam akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang sedia ada, kata Dr Mahathir.

Polis hari ini mendapat perintah tahanan reman ke atas 16 daripada 21 individu yang ditahan sepanjang dua hari ini bagi membantu siasatan. Mereka yang ditahan berumur antara 18 hingga 49 tahun, termasuk tiga kakitangan syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd.

Siasatan dijalankan bagi kes jenayah khianat dengan api, merusuh, khianat dan ceroboh jenayah.

Menurut perdana menteri, beliau mengikuti perkembangan kejadian sejak hari pertama semalam serta dimaklumkan oleh polis akan perkembangan siasatan.

“Amat jelas dari siasatan awal bahawa kejadian pertama yang berlaku mempunyai unsur jenayah. Begitu juga kejadian susulan yang melibatkan kerosakan harta benda serta kecederaan kepada anggota polis.,” katanya.

Kerajaan juga kesal terhadap tindakan penjenayah mencetuskan kekacauan di tempat ibadat itu serta mencederakan anggota polis dan bomba, tambahnya.

“Bagi dalang, jika ada di sebalik kejadian ini, mereka juga tidak akan terlepas daripada menerima hukuman yang sewajarnya,” katanya.

Perdana Menteri juga menasihati orang ramai agar tidak mendengar khabar angin dan tidak pula menyebarkan mesej yang tidak bertanggungjawab.

Kekacauan di kuil itu tercetus apabila puluhan individu merusuh kira-kira jam 2 pagi Isnin di kawasan tapak kuil sehingga berlaku pergaduhan yang menyebabkan 18 kereta pelbagai jenis dan dua motosikal terbakar.

Kekacauan sekali lagi tercetus pada malam berikutnya awal hari ini apabila perhimpunan lebih kurang 2,000 penganut Hindu yang mempertahankan kuil itu bertukar ganas. – 27 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen