SEKUMPULAN lelaki merosakkan Menara MCT di Subang Jaya, Selangor awal pagi ini, bangunan itu menempatkan pejabat One City Development Sdn Bhd.
Kumpulan itu memecahkan pintu kaca tingkat bawah bangunan itu. Bagaimanapun, polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berjaya menghalang mereka daripada terus melakukan kerosakan lebih buruk.
Tidak lama kemudian, sebuah van yang diletakkan di bangunan itu turut dibakar. Tidak dapat dipastikan sama ada kumpulan sama bertanggungjawab dalam kedua-dua kejadian tersebut.
Malam tadi, ribuan penganut Hindu berkumpul di kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, hampir 24 jam selepas kekecohan tercetus di situ apabila sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu masuk kuil. Beberapa orang cedera sementara 18 kenderaan dan dua motosikal turut dibakar.
Serangan ke atas Menara MCT dipercayai bermula sekitar jam 1 pagi ketika perhimpunan di kuil berakhir. Sekumpulan individu dipercayai telah pergi ke bangunan tersebut yang letaknya hampir 2 km dari kuil.
Jawatankuasa kuil dan One City Development terlibat dalam kemelut kes mahkamah tentang pemindahan kuil berusia 147 tahun itu ke lokasi baharu.
Seorang saksi yang enggan dinamakan berkata hampir 30 orang didakwa terlibat melakukan khianat tersebut sekitar jam 1 pagi tadi.
Katanya, ketika kejadian sebuah Toyota Vellfire, lima mesin pengimbas kad, kaunter penyambut tetamu pejabat dan beberapa meja serta kerusi turut dirosakkan.
“Mereka menggunakan batu, papan tanda dan pelbagai barangan lain ketika kejadian.”

Restoran Subway di Sky Park Mall turut dirosakkan ketika kejadian.
Kata saksi lagi, sebuah van turut dibakar pada jam 6.30 pagi menggunakan bom Molotov.
“Ada bau petrol yang kuat daripada van tersebut.”
Katanya, polis tiba di tempat kejadian ketika van sedang terbakar pagi tadi dan mengarahkan pekerja pejabat bangunan tersebut berundur buat masa sekarang. – 27 November, 2018.
Komen