Anggota bomba kena serang masih kritikal, kata menteri


Ravin Palanisamy

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin meninjau lokasi rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 November, 2018.

ANGGOTA bomba yang cedera diserang dalam rusuhan dekat kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya awal pagi ini masih kritikal akibat patah tulang rusuk dan mengalami kesukaran untuk bernafas, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang juga bakal melangsungkan perkahwinan bulan depan, kini dalam pemerhatian lima doktor pakar dan masih belum sedarkan diri.

“Saya mengesyaki mangsa terlibat dalam rempuhan perusuh. Tulang rusuknya turut patah sehingga mengakibatkan kesukaran bernafas.

“Buat masa ini, keadaan mangsa masih sama seperti semalam,” kata Zuraida kepada pemberita selepas melawat  mangsa di Pusat Perubatan Subang Jaya, di sini hari ini.

Zuraida turut menyatakan kekecewaan terhadap sikap segelintir pihak yang bertindak ganas terhadap anggota beruniform yang berada di situ untuk menjalankan tugas.

Katanya beliau sedih melihat keadaan mangsa dengan sedemikian rupa memandangkan Muhammad Adib sepatutnya berkahwin pada Disember ini.

“Seorang penjawat awam yang memakai uniform telah diserang. Saya tidak faham kenapa mereka bersikap seperti tidak bertamadun,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Mohammad Hamdan Wahid berkata pihaknya bertindak atas panggilan kecemasan dan ke lokasi menggunakan dua buah kenderaan iaitu jentera bomba dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Katanya sebaik pasukan itu tiba di lokasi kejadian, sekumpulan perusuh menyerbu kenderaan tersebut dan mula menyerang anggota bomba.

Muhammad Adib berada dalam van dan duduk di bahagian penumpang.

Mohammad Hamdan berkata anggota lain hanya menyedari kehilangan Muhammad Adib apabila mereka pulang di stesen bomba di Subang Jaya.

“Mereka menyerang menggunakan senjata. Apabila situasi semakin buru, anggota bertugas mengambil keputusan untuk berundur dari lokasi kejadian. Dalam situasi kelam kabut itu, Muhammad Adib ditarik keluar dari van.

“Rakan-rakan Adib cuba menghubunginya apabila mereka tiba di stesen dan seorang lelaki asing menjawab panggilan tersebut serta memaklumkan Adib dikejarkan ke hospital,” katanya.

Mohammad Hamdan berkata walaupun rakan-rakan Adib masih trauma dengan kejadian itu, mereka tetap meneruskan tugas.

“Mereka (anggota bomba) membahayakan nyawa untuk menyelamatkan nyawa. Jadi kita berharap mereka yang terlibat dalam isu ini dapat mengawal emosi dan mengikut undang-undang,” katanya. – 27 November, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen