Peniaga letak harapan padu kepada Dr Mahathir


Yasmin Ramlan Looi Sue-Chern

Peniaga yang hadir di siri jelajah Bersatu di Pulau Pinang semalam meletakkan kepercayaan pada bekas perdana menteri berusia 92 tahun, Dr Mahathir Mohamad untuk menyelesaikan masalah negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Ogos, 2017.

PENIAGA yang hadir ceramah siri jelajah gandingan 3M – Mahathir, Muhyiddin, Mukhriz – di Pulau Pinang malam tadi mengeluh dengan nasib mereka kerana semakin tertindas dengan pelbagai isu negara, sehingga ia menjejaskan perniagaan mereka.

Siri Jelajah Semarak Selamatkan Malaysia, Selamatkan Rakyat di Kepala Batas anjuran Bersatu itu menyentuh pelbagai isu termasuk penyelewengan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kejatuhan nilai ringgit, kos sara hidup, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sehinggalah peluang pekerjaan di kalangan anak muda.

Kebanyakan yang hadir mengharapkan sinar baharu daripada tiga pemimpin kanan parti bunga itu, iaitu presidennya Muhyiddin Yassin, timbalannya Mukhriz Mahathir dan tidak lain tidak bukan pengerusinya Dr Mahathir Mohamad, yang berpengalaman 22 tahun dalam mentadbir negara.

Peniaga Hussein Abdullah, 43, yang sering ulang-alik dari Pulau Pinang ke sempadan Thailand bagi mengambil stok pakaian untuk berniaga berkata peniaga di sana bukan saja enggan menerima ringgit tetapi perniagaannya semakin teruk selepas pelaksanaan GST.

“Sekarang ni taraf ekonomi rakyat memang teruk. Ringgit jatuh, teruk kalau saya pergi sempadan Thailand. Saya selalu masuk atas urusan niaga. Masa sebelum Najib jadi PM ringgit masih boleh diterima lagi.

“Sebelum GST perniagaan saya tak teruk sangat. Sekarang orang kurang nak beli. Saya tak boleh naikkan harga, tapi duit minyak semakin meningkat, nak bayar sewa kedai lagi.

“Kalau tak habis, fesyen dah ‘outdated’ orang tak nak dah, rugi,” katanya.

Kebanyakan yang hadir mengharapkan sinar baharu daripada tiga pemimpin kanan parti bunga itu, iaitu Muhyiddin Yassin, Mukhriz Mahathir dan Dr Mahathir Mohamed. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Ogos, 2017.

Mereka yang hadir di perkarangan Kompleks Sukan MPSP di Kepala Batas itu sanggup bersengkang mata tekun mendengar setiap patah ucapan daripada bekas pemimpin parti Melayu terbesar itu.

Bagi mereka, walaupun 3,000 kerusi plastik yang disediakan tidak mencukupi, mereka tidak peduli dan sanggup duduk bersila di padang rumput.

Peniaga tender kantin, Norfisah Ishak, 43, berkata dia datang ke ceramah itu kerana ingin mendengar ucapan disampaikan oleh kedua-dua belah pihak tanpa membuta tuli mempercayai apa yang tersiar di media massa.

“Saya percaya setiap orang yang datang hari ini hendak maklumat dan bandingkan dengan kepimpinan sekarang.

“Mereka mungkin memang bukan semua ahli Bersatu tapi datang nak dapatkan penerangan jelas sebab kerajaan cakap memang nak sorok. Jadi saya datang nak dengar perdana menteri yang dah 22 tahun tadbir Malaysia.

“Ada logik juga nak bandingkan sebab yang saya boleh nampak BN-Umno banyak maki hamun saja. Saya memang pergi dua-dua ceramah (Umno dan Bersatu),” katanya yang datang dari Sungai Petani, Kedah iaitu kira-kira setengah jam dari lokasi ceramah.

Mengulas ucapan bekas menteri besarnya Mukhriz berkenaan ugutan tiada lagi kontrak kantin jika menyokong pembangkang, Norfisah berkata: “Saya berniaga kantin. Memang ada ugutan ke arah itu. Mereka kata tender sekolah akan kena potong kalau sokong PH.”

Zack Zainal, 26, juga senada dengan Norfisah yang meletakkan kepercayaan padu terhadap pemimpin berusia 92 tahun itu.

Katanya, pengalaman sebagai perdana menteri paling lama berkhidmat itu dapat menyelesaikan masalah dihadapi rakyat pada hari ini.

“Saya kagum dengan cara pemikirannya. Dengan pengalamannya, saya pasti dia tahu apa yang perlu dilakukan untuk betulkan keadaan..selesaikan masalah yang kita hadapi hari ini,” katanya.

Keperitan ini bukan saja dirasai oleh Hussein dan Norfisah, tetapi dihadapi oleh bapa tiga orang anak yang masih bersekolah, Mohd Yusoff Man, 59, dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

“Jika ada ceramah dekat kawasan saya, saya akan pergi dengar. Saya nak tahu macam mana kita boleh betulkan kehidupan. Kehidupan sekarang susah.

“Saya buat perniagaan kecil-kecilan, bukan nak kaya. Memang terasa sangat. Sebelum GST tak ada masalah,” katanya.

GST dilaksanakan pada April 2015 dengan cukai sebanyak 6%.

“Sekarang harga petrol pun asyik berubah setiap minggu, sangat susah bila kos perniagaan tak stabil..memang tak macam dulu lagi,” katanya.

Yusoff yang berasal dari kawasan perdana menteri kelima Abdullah Badawi atau lebih dikenali sebagai Pak Lah itu berkata dia tidak kisah siapa yang mentadbir negara.

Antara pemimpin PH yang turut hadir Pengerusi Bersatu Pulau Pinang Marzuki Yahaya, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan pemimpin DAP Lim Kit Siang. – 19 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen