MENTERI Pendidikan Maszlee Malik mengesahkan beliau akan melepaskan jawatan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum akhir bulan ini.
Dalam satu kenyataan ringkas di Facebook, Maszlee berkata beliau sudah memutuskan untuk letak jawatan itu sebaik selepas istiadat konvokesyen UIAM berakhir, dan selepas proses pelantikan penggantinya selesai.
Majlis konvokesyen kali ke-34 yang bermula Sabtu lalu berakhir esok.
“Saya percaya proses pelantikan pengganti akan selesai akhir November 2018,” katanya dalam kenyataan tiga perenggan, malam ini.
Kata Maszlee, beliau menghormati keputusan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan kabinet berhubung isu jawatan tersebut dan pada masa sama menghormati kenyataan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin awal hari ini meminta Maszlee melepaskan jawatan tersebut “serta merta” selepas jemaah menteri membuat keputusan beliau tidak lagi boleh memegang jawatan tersebut.
“Saya rasa keputusan sudah sangat jelas dibuat Kabinet dan saya fikir dia menjawab dengan kata dia perlukan lebih banyak masa,” kata Muhyiddin.
“Tetapi saya nasihatkan dia letak jawatan secepat mungkin. Sementara itu, dia perlu cari orang untuk gantinya kerana sudah ada keputusan teguh oleh parti (Bersatu) dan kerajaan.
“Jadi, saya rasa Dr Maszlee sudah tahu tentangnya,” tambah Menteri Dalam Negeri itu.
Maszlee, yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, adalah antara ahli akademik yang menyertai Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Beberapa media termasuk The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan Maszlee sedang mencari penggantinya selepas menerima kecaman pertubuhan pelajar, pertubuhan masyarakat sivil dan pemimpin Pakatan Harapan.
“Dr Maszlee sedang meneliti beberapa nama dan mahu mencari pengganti yang betul. Calon itu mesti ada integriti yang tinggi, minat mengembangkan bidang akademik dan paling mustahak, menjaga kepentingan universiti,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insight.
Proses peralihan itu bagaimanapun akan mengambil masa kerana Maszlee harus mengadap Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Ketua Perlembagaan UIAM.
Pelantikan Maszlee sebelum ini adalah atas cadangan kerajaan sebagai “hos universiti” mengikut perlembagaan UIAM dan diperkenankan oleh Sultan Pahang.
Bekas pensyarah UIAM itu berdepan tekanan selepas diumumkan sebagai presiden universiti itu yang ketujuh, menggantikan Rais Yatim, awal September lalu.
Walaupun pelantikan beliau umumnya disambut baik oleh pensyarah, kakitangan dan mahasiswa UIAM, ia dikritik oleh pihak lain kerana bertentangan dengan janji Pakatan Harapan yang mahu membebaskan institusi pendidikan daripada politik.
The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan Maszlee sudah dinasihatkan oleh pimpinan Pakatan Harapan untuk melepaskan jawatannya di UIAM. – 12 November, 2018
Komen