Muhyiddin kata Maszlee patut letak jawatan UIAM serta merta


Bede Hong

Menteri Dalam Negeri yang juga Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mendesak Menteri Pendidikan Maszlee Malik meletak jawatan sebagai presiden UIAM serta merta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2018.

MENTERI Pendidikan Maszlee Malik perlu meletak jawatan selaku presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta merta kerana Kabinet dan Bersatu sudah memutuskan beliau tidak lagi boleh memegang jawatan tersebut, kata Muhyiddin Yassin.

“Saya rasa keputusan sudah sangat jelas dibuat Kabinet dan saya fikir dia menjawab dengan kata dia perlukan lebih banyak masa,” kata menteri dalam negeri itu kepada wartawan di Putrajaya hari ini.

“Tetapi saya nasihatkan dia letak jawatan secepat mungkin. Sementara itu, dia perlu cari orang untuk gantinya kerana sudah ada keputusan teguh oleh parti (Bersatu) dan kerajaan. Jadi, saya rasa Dr Maszlee sudah tahu tentangnya,” kata presiden Bersatu itu.

Mengulas pelantikan Abdul Wahid Omar selaku pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia oleh Maszlee, Muhyiddin berkata: “Saya tak tahu tentang keputusan Maszlee, sama ada dia berunding dengan perdana menteri.”

“Saya tak pasti tentangnya jadi saya tak boleh komen lanjut. Cukup setakat itu.”

Maszlee dikecam ahli Bersatu A Kadir Jasin yang berkata menteri pendidikan itu tidak patut melantik Wahid kerana beliau tidak mempunyai hubungan baik dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum ini, The Malaysian Insight melaporkan yang Maszlee sedang mencari penggantinya selepas menerima kecaman pertubuhan pelajar, persatuan masyarakat sivil dan pemimpin Pakatan Harapan.

“Dr Maszlee sedang meneliti beberapa nama dan mahu mencari pengganti yang betul. Calon itu mesti ada integriti yang tinggi, minat mengembangkan bidang akademik dan paling mustahak, menjaga kepentingan universiti,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insight.

Maszlee juga akan berunding dengan Canselor UIAM Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah untuk pelantikan itu.

Dilaporkan yang Sultan Pahang yang memberi perkenan untuk melantik Maszlee sebagai presiden UIAM.

Walaupun kakitangan, pengurusan dan pelajar UIAM mengalu-alukan pelantikan itu, ia menerima kecaman hebat kerana bercanggah dengan manifesto PH yang mahu mengembalikan kebebasan akademik di institusi pengajian awam negara.

The Malaysian Insight juga melaporkan yang pemimpin PH sudah menasihati bekas pensyarah UIAM itu untuk berundur dan hanya memantau situasi buat masa sekarang. – 12 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen