MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik sedang mencari calon penggantinya untuk jawatan presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selepas pelantikannya itu dikecam pelbagai pihak termasuk aktivis mahasiswa, pertubuhan masyarakat dan pemimpin Pakatan Harapan, kata sumber.
Sumber yang maklum dengan perkembangan terbaru itu berkata Maszlee sudah mula meneliti calon penggantinya walaupun beliau tidak bercakap apa-apa mengenainya.
“Dr Maszlee sedang meneliti beberapa nama dan mahu mencari pengganti yang betul. Calon itu mesti ada integriti yang tinggi, minat mengembangkan bidang akademik dan paling mustahak, menjaga kepentingan universiti,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insight.
Proses peralihan itu bagaimanapun akan mengambil masa kerana Maszlee harus mengadap Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Ketua Perlembagaan UIAM.
Pelantikan Maszlee sebelum ini adalah atas cadangan kerajaan sebagai “hos universiti” mengikut perlembagaan UIAM dan diperkenankan oleh Sultan Pahang.
“Ada proses tertentu untuk memilih presiden UIAM dan menteri perlu mematuhinya.”
Sumber juga berkata Maszlee mahu memberi perhatian pada reformasi pendidikan dan menyerahkan UIAM kepada orang yang layak dan dihormati yang boleh meneruskan agenda pembaharuannya.
“Beliau sedar ada banyak yang perlu dilakukan dalam pendidikan. Melepaskan jawatan di UIAM bermakna beliau akan ada banyak masa untuk tumpu pada mengemaskan sistem pendidikan.”

Sumber itu memberitahu, Maszlee berharap akan dapat melepaskan tugas kepada penggantinya awal tahun depan.
Bekas pensyarah UIAM itu berdepan tekanan selepas diumumkan sebagai presiden universiti itu yang ketujuh, menggantikan Rais Yatim.
Walaupun pelantikan beliau umumnya disambut baik oleh pensyarah, kakitangan dan mahasiswa UIAM, ia dikritik oleh pihak lain kerana bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan yang mahu membebaskan institusi pendidikan daripada politik.
The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan Maszlee sudah dinasihatkan oleh pimpinan Pakatan Harapan untuk melepaskan jawatannya di UIAM.
Menteri Pendidikan itu hari ini dikritik oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, A Kadir Jasin selepas beliau melantik Abdul Wahid Omar sebagai pengerusi lembaga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kadir yang juga penasihat media dan komunikasi di Pejabat Perdana Menteri berkata, Wahid tidak sepatutnya dilantik ke jawatan itu selepas disingkirkan dari Perbadanan Nasional Berhad (PNB). – 9 November, 2018.
Komen