Zahid mengaku tiga pemimpin Umno Johor minta beliau berehat


SM Amin

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menolak permintaan pemimpin Umno Johor yang meminta beliau mempertimbangkan cadangan supaya berehat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2018.

AHMAD Zahid Hamidi mengaku tiga pemimpin Umno peringkat bahagian di Johor meminta beliau berehat sebagai presiden parti itu sementara perbicaraan 45 pertuduhan di mahkamah yang dihadapinya selesai.

Mereka menyuarakan pandangan itu dalam mesyuarat tertutup kepimpinan negeri Johor dengan beliau pada Sabtu di ibu pejabat Umno Johor di Johor Bahru, semalam, kata Zahid.

“Semalam di Johor ada tiga orang yang bercakap dengan nada sama seperti Pemuda. 

“Saya ucap terima kasih kepada (Umno) Perhubungan Negeri Johor yang terus beri sokongan kepada saya untuk terus jadi Presiden,” katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan Khas Kepimpinan Tertinggi Umno peringkat negeri Melaka di Kampung Bertam, Hulu Melaka, hari ini.

Portal Malaysiakini yang memetik sumber sebelum ini melaporkan Zahid menolak permintaan pemimpin Umno Johor yang meminta beliau mempertimbangkan cadangan supaya berehat.

Menurut laporan itu, Zahid bertegas untuk kekal sebagai presiden meskipun separuh daripada pemimpin yang bersuara dalam mesyuarat tersebut menyatakan pandangan sebaliknya.

Johor mempunyai 26 Ketua Bahagian yang mana 10 daripadanya menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti Jun lalu.

Dalam perbincangan yang dijalankan secara ‘keluarga’ itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Hasni Mohammad memutuskan supaya Zahid terus berkhidmat sebagai Presiden Umno.

Beliau juga berharap Zahid tidak berkecil hati dengan pandangan yang disuarakan kepimpinan negeri, kerana pimpinan Umno Johor sememangnya dikenali dengan suara yang lantang dan terbuka.

Sebelum ini, gesaan untuk Zahid berehat daripada jawatan presiden disuarakan beberapa pihak termasuk sayap Pemuda Umno.

Dua minggu lalu, Pemuda Umno meminta beliau mempertimbangkan untuk bercuti bagi memberikan fokus kepada kes mahkamah yang dihadapinya.

Zahid didakwa di mahkamah dengan 45 pertuduhan melibatkan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, yang keseluruhannya melibatkan nilai RM114 juta. – 11 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen