Ada apa dalam Bersatu 2.0?


Awang Azman Awang Pawi

BERSATU adalah parti serpihan Umno apabila ramai pemimpin utama seperti Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir menjadi tonggak utama penubuhannya. Selepas genap dua tahun penubuhannya, Bersatu dilihat perlukan penjenamaan semula apabila dilihat seolah-olah mulai menjadi Umno 2.0.

Hal ini berlaku disebabkan dasar Bersatu mulai berubah untuk menerima kemasukan bekas wakil-wakil rakyat Barisan Nasional.

Pada 15 Mei 2018, beberapa hari selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir mengumumkan bahawa PH tidak akan menerima kemasukan ahli dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dalam gabungan komponen parti tersebut.

Ketika itu, Dr Mahathir memaklumkan bahawa terdapat ramai dari parti lawan (BN) yang tewas ingin masuk dalam parti PH. Namun kemasukan mereka itu tidak boleh diterima oleh majoriti rakyat sebab itu mereka tidak harus diterima.

Dr Mahathir selaku pengerusi juga menegaskan PH tidak mahu bertindak seperti BN yang gemar menerima kemasukan ahli dari parti lawan dan rakyat tidak mahu ahli politik kerajaan lama mempengaruhi kerajaan baru.

Dengan kata lain, Dr Mahathir bukan sahaja tidak mahu Bersatu menjadi Umno 2.0, malah mana-mana parti komponen juga tidak harus mengikut jejak BN yang yang suka menerima kemasukan ahli dari parti lawan untuk mengukuhkan parti atau komponen mereka.

Beliau memberikan syarat bahawa kelompok yang keluar parti ini hanya boleh isytihar keluar parti dan secara individu menyatakan sokongan kepada parti kerajaan (PH), tetapi bukan ahli. Inilah syarat dikenakan oleh Dr Mahathir ketika itu.

Justeru, dapat dirumuskan Dr Mahathir sangat sensitif kepada teguran rakyat. Apa-apa teguran dan kritikan rakyat diambil perhatian dan tindakan oleh beliau kerana sedar PH masih lagi baharu dan rapuh ketika itu.

Sebab itu, Dr Mahathir dipetik pernah berkata bahawa “rakyat tidak pandang baik kepada ahli politik daripada kerajaan sebelum ini untuk menyertai PH kerana tidak mahu kerajaan baru ini nampak seperti kerajaan lama. Oleh itu, penyertaan mereka tidak boleh diterima”.

Pendirian berubah

Ketika 3 ahli Parlimen keluar Umno, Dr Mahathir kurang terkesan untuk menerima mereka menyertai Bersatu. Namun selepas Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman meninggalkan Umno, seolah-olah Dr Mahathir berubah pendirian.

Ada spekulasi bahawa Dr Mahathir ingin memasukkan Tok Pa sebagai ahli Kabinet dalam rombakan Kabinet yang dijangka berlaku pada hujung tahun ini atau awal tahun depan. Sekiranya ini berlaku, ia akan mengubah pendirian Dr Mahathir sendiri pada 5 bulan lepas. Sudah pasti ini akan memberikan kesan politik kepada parti Bersatu.

Sekiranya kemasukan Tok Pa dalam Kabinet baharu benar-benar direalisasikan ini bermakna akan ada yang tersingkir dalam kabinetPH. Atau sekurang-kurangnya ahli Kabinet Bersatu yang sedia ditukarkan ke portfolio yang kurang penting atau strategik.

Sudah pasti ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli Kabinet itu sendiri atau berasa dipinggirkan dengan penerimaan masuk bekas wakil rakyat Umno yang menjadi pelarian politik kembali berkuasa dan memegang jawatang penting dalam kabinet PH.

Akar umbi Bersatu akan berasa pemimpin mereka yang sudah lama berjuang sejak sebelum pilihan raya umum lagi tidak lagi dilihat relevan dalam era kerajaan baharu Malaysia.

Maka, jadilah kelompok ini sebagai kelompok yang kecewa dan menunggu masa sesuai untuk memprotes kekecewaan dan ketidakpuasan hati mereka sama ada dalam konteks kurang menyokong dasar kerajaan atau melakukan protes pada pilihan raya umum akan datang.

Dari satu segi, kemasukan wakil rakyat ke dalam Bersatu tidak perlu diberikan ganjaran jawatan politik selama satu penggal untuk membuktikan kesetiaan mereka kepada parti. Selepas pilihan raya akan datang sekiranya mereka menang, maka barulah dipertimbangkan untuk jawatan ahli kabinet atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sekiranya langkah ini dilaksanakan maka terdapat barisan pemimpin pelapis gabungan lama dan baharu dapat diketengahkan. Kombinasi seimbang antara anak muda dengan generasi tua penting terutama dalam konteks parti Bersatu apabilanya jurang umur terlalu besar. Terdapat anak muda belum lagi berpengalaman luas meskipun berpendidikan tinggi.

Seterusnya, ujian satu penggal tersebut akan dapat menyekat budaya politik lama daripada memasuki budaya politik baharu dalam Bersatu. Dengan langkah ini, Bersatu akan lebih ampuh kerana tidak melakukan kaedah dan strategi politik “mee segera’.

Penyertaan tokoh seperti Rafidah Aziz dan Rais Yatim dalam Bersatu baik untuk parti. Mereka sudah pasti tidak lagi kemaruk kuasa untuk memegang kuasa jawatan ahli kabinet atau GLC.

Kelompok ini sudah lama menikmati kuasa sejak zaman dalam Umno lagi. Namun buah fikiran mereka masih diperlukan kerana mereka menentang Umno sebelum Umno tewas dalam pilihan raya umum.

Maka, langkah terbaik untuk membantu Bersatu ialah dengan menubuhkan Majlis Presiden Parti dengan tokoh berpengalaman seperti Rafidah dan Rais sebagai ahlinya.

Ini penting bagi memastikan hala tuju Bersatu dapat berkembang secara progresif. Majlis ini akan menjadi badan penasihat, merunding dan semak dan imbang dalaman parti.

Sebenarnya, penerimaan pelarian politik Umno menyertai Bersatu ialah langkah taktikal. Pendirian ini kini dilihat mulai berubah seolah-olah ada kepentingan politik wujud apabila Bersatu asalnya hanya menang 13 kerusi parlimen namun memegang jawatang strategik dalam kerajaan.

Terdapat kebimbangan bahawa selepas pemerintahan Dr Mahathir, kekuatan Bersatu akan semakin kurang. Maka, lebih baik Bersatu menguatkan kedudukan parti dari segi bilangan wakil rakyat agar tidak menjadi parti yang paling kecil selepas parti Amanah.

Kurangnya, kerusi Parlimen bermakna akan kurang suara dalam proses membuat keputusan dan dalam keputusan kabinet selepas era pemerintahan Dr Mahathir.

Di sinilah peranan Dr Mahathir sebagai ahli politik yang pintar lagi licik mengatur langkah hayat Bersatu sebelum beliau meletak jawatan dalam tempoh dua tahun. – 11 November, 2018.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen