SEORANG pemimpin PKR mempersoalkan lawatan presiden partinya Dr Wan Azizah Wan Ismail ke Julau, Sarawak semalam, atas kapasiti timbalan perdana menteri, ketika pemilihan parti di negeri itu bakal berlangsung hujung minggu ini.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Latheefa Koya berkata lawatan itu tidak sesuai memandangkan 29 cabang di Sarawak akan mengundi pada 10 November ini.
Beliau turut mempersoalkan peruntukan pembangunan yang Wan Azizah umum bagi kawasan Parlimen Julau semalam, yang ahli Parlimennya secara terang-terang menyokong Rafizi Ramli.
“Lawatan Wan Azizah ke Julau melibatkan penggunaan jawatan rasmi dan aset kerajaannya. Beliau juga mengumumkan peruntukan RM 100,000 untuk jalan raya di Julau.
“Ini diumumkan dengan kehadiran Larry Sng calon Ketua Cabang Julau dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
“Tidak ada sebab mengapa lawatan Wan Azizah perlu dilakukan menjelang pemilihan PKR di Sarawak. Kenapa TPM tidak boleh melawat selepas pemilihan?” soal Latheefa, yang juga seorang peguam, dalam satu kenyataan.
Sarawak adalah negeri terakhir yang akan memilih dan jadi penentu pemilihan yang secara berperingkat mengikut negeri yang bermula sejak 23 September lalu.
Selepas semua negeri selesai mengundi hujung minggu lalu, Rafizi yang mencabar kedudukan timbalan presiden kini ketinggalan lebih kurang 2,000 undi di belakang penyandangnya Mohamed Azmin Ali.
Lawatan Wan Azizah itu juga jadi perhatian kerana cabang PKR Julau terpalit kontroversi selepas keahliannya meningkat dengan mendadak sehingga 2,000%, daripada 635 orang kepada 13,617 yang dilaporkan berlaku dalam sehari.
Keraguan tentang pertambahan keahlian itu sudah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kini dalam siasatan agensi anti rasuah itu.

Antara keraguan itu termasuk mengenai sejumlah ahli yang tidak mahu menyertai PKR tetapi didaftarkan nama mereka sebagai ahli, serta pendaftaran semula sejumlah nama yang dikatakan sememangnya ahli parti.
“Masyarakat berhak tahu (tentang lawatan Wan Azizah ke Julau menjelang pemilihan PKR),” kata Latheefa,
SPRM sebelum ini menyerbu pejabat Sng di Julau dalam siasatan mereka ke atas “ahli hantu” bahagian tersebut. SPRM juga sudah menghubungi ahli Parlimen itu untuk siasatan tersebut.
Minggu lalu juga, pegawai SPRM berkunjung ke Ibu Pejabat PKR Sarawak, sementara seorang ahli parti ditahan selama sehari.
Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin sebelum ini berkata beliau akan membawa sekali lagi isu keahlian cabang Julau ke mesyuarat parti minggu depan.
Katanya, isu itu pernah dibangkitkan sebelum ini tetapi masih belum ada keputusan yang jelas mengenainya.
Semalam, Sng membidas Zuraida kononnya sudah terlalu terdesak kerana kempennya di Julau pada Isnin tidak mendapat sambutan.
Zuraida kemudian membalas kecaman Sng dengan menyifatkan ahli Parlimen Julau itu sebagai “kebudak-budakan.” – 7 November, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Zainal Mahfodz · Ulasan